X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

SOP ketat sepanjang sidang khas Dewan Rakyat

Shabudin menyampaikan bakul makanan kepada warga emas kurang upaya, Moh Hamidun, 66, ketika majlis penyampaian bakul makanan Pemulih peringkat Parlimen Tasek Gelugor pada Ahad.
A
A

SEBERANG PERAI - Prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilakukan sepanjang sidang khas Dewan Rakyat yang berlangsung bermula 26 Julai ini bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19.

Ia termasuk mewajibkan semua ahli Parlimen dan pegawai yang hadir mengemukakan keputusan ujian saringan selain tidak mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti virus berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Shabudin Yahaya berkata, sidang khas yang akan berlangsung sehingga 2 Ogos itu dijangka melibatkan lebih 2,500 orang termasuk 222 ahli Parlimen bersama pegawai masing-masing.

Beliau berkata, persidangan yang akan memfokuskan kepada penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta pengurusan kerajaan dalam mendepani pandemik Covid-19 turut melibatkan kehadiran pegawai daripada pelbagai kementerian selain petugas dan kakitangan pentadbiran Parlimen serta anggota keselamatan.

"Sudah pastinya kita akan memastikan perjalanan sidang khas ini dikawal ketat supaya semua yang berada di kawasan bangunan Parlimen selamat dan terhindar daripada dijangkiti Covid-19.

"Seperti arahan yang dikeluarkan pengurusan Parlimen, semua yang hadir perlu mengemukakan bukti mereka telah menjalani ujian saringan dan menyerahkan keputusan kepada urusetia beberapa hari sebelum sidang bermula atau boleh melakukan ujian calitan disediakan di Parlimen nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Tasek Gelugor di sini pada Ahad.

Shabudin sebelum itu menghadiri majlis penyampaian bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) peringkat Parlimen Tasek Gelugor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, tiada sesiapa akan terlepas untuk menjalani prosedur ketat sebelum memasuki pekarangan Parlimen.

Mengulas lanjut persidangan khas itu, Shabudin berkata, ia akan mengukuhkan lagi urusan menjaga kebajikan rakyat dalam mendepani ancaman Covid-19 selain menentukan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan kerajaan.

"Segala tindakan untuk menyelamatkan rakyat akan dibincangkan dan dimaklumkan kepada semua ahli Parlimen untuk memperkuatkan maklumat, persiapan serta pelaksanaan bagi menghadapi pandemik ini," jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!