Teksi KLIA guna aplikasi Smart AI

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Kira-kira 2,100 teksi yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan dilengkapi dengan peralatan SMART AI pada akhir tahun ini.

SMART AI adalah aplikasi pintar berteraskan kecerdasan buatan, yang boleh merakam setiap pergerakan pemandu serta penumpang dan dihubungkan terus dengan pusat kawalan.

Teksi dilengkapi SMART AI dengan kemudahan seperti kamera berdefinasi tinggi, pembesar suara dan butang panik itu dikendalikan bersama oleh Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) dan Teguh Tunggal Sdn Bhd selaku pembekal peralatan.

Bercakap kepada pemberita mengenai inisiatif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi di sini hari ini, Presiden Petekma, Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata SMART AI mampu menghentikan kenderaan secara serta merta jika pemandu tidak mematuhi arahan keselamatan yang diberikan pusat kawalan.

"Pemandu akan dipantau rapi seperti tahap tumpuan pada pemanduan, leka atau melakukan kesalahan seperti merokok atau bergaduh. Jika tahap berbahaya, pusat kawalan akan memberi peringatan tentang tindakan yang perlu diambil, malah boleh memberhentikan kenderaan jika keadaan bertambah teruk,” katanya.

“Bagi penumpang pula, SMART AI akan memastikan mereka dilindungi daripada insiden tidak sepatutnya seperti diminta membayar tambang lebih, diganggu atau dimarahi pemandu sepanjang perjalanan,” katanya lagi.

Turut menyaksikan demonstrasi penggunaan SMART AI selepas pemeteraian perjanjian persefahaman antara Petekma dan Teguh Tunggal untuk penggunaan aplikasi itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor, yang sebelum itu menghadiri Majlis Bicara Teksi dan Santai Bersama Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan.

Mohd Syahrir berkata, untuk permulaan 300 teksi akan dipasang SMART AI sebelum penggunaannya diperluas kepada semua kereta sewa di bawah persatuan itu secara berperingkat selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata penggunaan SMART AI itu tidak akan melibatkan kenaikan kadar tambang sebaliknya harga yang ditetapkan kerajaan dikekalkan.

Kadar terkini laluan KLIA ke Kuala Lumpur ialah RM83 bagi teksi bajet, premium RM118 manakala bagi mewah dan keluarga, kadar ditetapkan adalah RM233.- Bernama