Kuntz kesal ‘serangan’ perkauman terhadap Torunarigha

Pemain Jerman meninggalkan padang berikutan serangan berbaur perkauman ketika berdepan Honduras.
Pemain Jerman meninggalkan padang berikutan serangan berbaur perkauman ketika berdepan Honduras.
A
A
A

PENGENDALI skuad Olimpik Jerman, Stefan Kuntz menyuarakan kekesalan terhadap insiden serangan berbaur perkauman terhadap pemain pertahanan, Jordan Torunarigha pada aksi persahabatan berdepan Honduras di Wakayama, Jepun pada Sabtu.

Menurut Kuntz, insiden berkenaan yang disifatkannya tidak seharusnya berlaku terutamanya bagi saingan di peringkat Olimplik seperti ini.

Justeru katanya, bagi mengelakkan perkara lebih buruk, mereka memutuskan untuk meninggalkan padang biarpun masih berbaki lima minit untuk ditamatkan.

“Apabila salah seorang pemain kita dikecam hebat dengan kecaman berbaur perkauman, ia bukan lagi satu keperluan untuk kami bermain.

“Kita tahu ia adalah sesuatu yang sukar baginya kerana dia kelihatan kecewa berikutan insiden berkenaan dan bagi kami, ia sesuatu yang jelas melanggar hak serta nilai kami. Kami sememangnya tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini,” katanya.

Insiden berkenaan didakwa berlaku apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan yang diadakan mengikut format baharu iaitu dengan tiga bahagian melibatkan 30 minit bagi setiap bahagian.

Untuk rekod, skuad kendalian Kuntz meninggalkan padang pada persahabatan berkenaan biarpun perlawanan masih berbaki lima minit bagi menggambarkan protes terhadap perkara berkenaan.

Aksi persahabatan berkenaan difahamkan adalah persiapan terakhir Jerman sebelum aksi berdepan Brazil bagi aksi Kumpulan D pada Khamis, Arab Saudi (25 Julai) dan Ivory Coast pada 28 Julai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Kuntz berkata, selepas tamat perlawanan, kesemua pemain serta pegawai Honduras datang menemuinya bagi menyatakan permohonan maaf terhadap insiden berkenaan.

“Tindakan mereka itu secara tidak langsung meredakan sedikit suasana tegang yang timbul akibat insiden berkenaan.

“Namun, saya tegaskan sekali lagi, kami tidak akan bertolak ansur terhadap insiden seperti ini pada masa hadapan,” katanya.