1,674 pelajar ikuti program E-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota

Saifuddin pada sidang akhbar secara maya pada Sabtu.
Saifuddin pada sidang akhbar secara maya pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,674 pelajar daripada 17 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota sudah berdaftar untuk mengikuti program E-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, program ini adalah kelas pembelajaran tuisyen secara maya seiring dengan norma baru.

"Program E-Tuisyen ini bermula pada 12 Mac lalu dengan mengambil pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah sebagai projek rintis.

"Hari ini (Sabtu) kita melancarkan secara rasmi program ini dan lebih 1,674 pelajar tingkatan empat dan lima daripada 17 SMK telah berdaftar. Kita harapkan dengan program ini dapat meningkatkan prestasi pelajar di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya selepas merasmikan program E-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota pada Sabtu.

Program terbabit dilaksanakan usahasama Pejabat Parlimen Indera Mahkota dan MSD Innovation Sdn Bhd.

Saifuddin menjelaskan, enam subjek ditawarkan kepada pelajar yang terpilih untuk mengikuti kelas secara maya itu.

Antaranya mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Fizik.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pecahan seramai 339 pelajar yang akan mengikuti sesi pembelajaran Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris (324), Sejarah (372), Matematik Moden (321), Matematik Tambahan (178) dan 140 pelajar yang mahu mengikuti mata pelajaran Fizik.

"Sesi pembelajaran ini akan diajar oleh enam guru yang berpengalaman pada setiap Jumaat dan Sabtu. Seramai 30 pelajar akan mengikuti kelas terbabit pada satu-satu masa," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah, pihaknya berhasrat untuk menambah beberapa lagi mata pelajaran seperti Sains Moden, Geografi dan Pendidikan Islam pada masa akan datang.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan permintaan pelajar.