Geng Bobot tumpas, lima suspek ditahan polis

Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan kes di IPD Sentul. - Foto Halim Wahid
Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan kes di IPD Sentul. - Foto Halim Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima ahli Geng Bobot ditahan bersama tujuh orang mangsa yang didakwa dengan sengaja menipu jumlah wang tunai ketika disamun di rumah kedai di Pasar Borong Selayang, di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan awal, tiga orang suspek bersenjatakan parang dan pistol melarikan beberapa unit telefon bimbit bersama sejumlah wang hasil jualan serta simpanan daripada lapan orang mangsa warga asing.

Menurutnya, polis menahan lima lelaki berusia dalam lingkungan antara 19 hingga 32 yang terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati jumlah wang tunai yang disamun bercanggah dengan laporan yang dibuat mangsa.

"Mangsa membuat laporan palsu bahawa RM105,000 telah disamun, pihak polis telah merampas lebih kurang RM11,000 daripada suspek manakala polis juga menemui RM40,000 di rumah mangsa," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media pada Sabtu.

Tambahnya, pihaknya merampas barang kes berbentuk wang tunai berjumlah RM51,362, tujuh buah telefon bimbit milik mangsa, dua pucuk pistol airsoft, tiga buah motosikal jenama Yamaha dan pakaian yang dipercayai digunakan ketika melakukan rompakan itu.

Pada masa sama, seorang mangsa warganegara Bangladesh, 31, masih menerima rawatan di Hospital Selayang akibat ditetak di kepala dengan parang oleh salah seorang suspek.

Sehubungan itu, secara keseluruhan 12 orang ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk direman selama enam hari bermula 16 hingga 21 Julai manakala kes akan disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan: