Hasil berbudi pada tanah

A
A
A

TEMERLOH- Berbudi kepada tanah membawa hasil. Itu usaha yang dijalankan oleh Koperasi Bukit Kelulut Berhad yang mengusahakan tanah seluas 0.6 hektar di Kampung Bukit Kelulut dengan projek penanaman Cili Fertigasi sejak beberapa bulan lalu.

Dan kini ia mula membuahkan hasil lumayan selepas ia diusahakan pada 1 November lalu dengan 2,020 polibeg,projek itu sudah menuai hasilnya hingga 100 kilogram (kg) setakat ini.

Pengerusinya,Abu Bakar Osman berkata, terkini hasil projek itu berjaya dituai pada minggu lalu.

"Baru-baru ini sebanyak 70kg cili berjaya dihasilkan dan ia menaikkan lagi semangat ahli terdiri penduduk kampung ini untuk terus menjayakan projek ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, cili terbabit dijual pasaran tempatan dengan harga RM8 sekilogram dan antara pelanggan koperasi itu termasuk restoran, peniaga di Pasar Temerloh selain penduduk sekitar.

Sebanyak 2,020 polibeg diusahakan di ladang cili milik koperasi terbabit.
Sebanyak 2,020 polibeg diusahakan di ladang cili milik koperasi terbabit.

Namun Abu Bakar memberitahu, koperasi tersebut memerlukan sokongan dan bantuan pihak berkaitan untuk memastikan ia dapat bertahan dan berjalan lancar.

Ujarnya, penubuhan koperasi berkenaan selepas kampung itu menyertai pemilihan Desa Lestari Peringkat Kebangsaan yang menetapkan syarat antaranya mewujudkan koperasi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya,daripada ribuan kampung yang menyertainya,kampung itu antara 101 kampung terpilih dari seluruh negara sebagai Desa Lestari.

"Dengan penyertaan 60 ahli terdiri penduduk kampung,ia dapat berjalan dengan baik sehingga hari ini.

"Terima kasih kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang banyak membantu koperasi ini selama ini," katanya lagi.