TH berdepan beberapa risiko jika diletakkan di bawah BNM

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung Haji (TH) berdepan beberapa risiko sekiranya diletakkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, risiko tersebut termasuk memberikan kesan kepada jaminan simpanan pendeposit memandangkan ketika ini ia dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“BNM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Apa yang akan berlaku sekiranya TH tertakluk di bawah BNM dan Menteri Kewangan pada ketika itu tidak memahami maqasid kewujudan TH seperti mana yang telah berlaku sebelum ini?.

“Selain itu, polisi-polisi TH juga perlu diluluskan terlebih dahulu oleh BNM sebelum ia dilaksanakan. Contohnya, penambahan subsidi haji,” katanya menerusi perkongsian di Facebook milik beliau pada Jumaat.

Pada Khamis, Kementerian Kewangan memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi Lembaga TH secara menyeluruh yang antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kementerian berkenaan berkata, Jemaah Menteri turut menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya tidak begitu jelas dengan tindakan menilai semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995.

“Kami tidak begitu faham atas tujuan apa akta ini perlu disemak semula. Sekiranya yang mahu disemak adalah ketetapan jaminan kerajaan, maka ia akan merugikan umat Islam dan TH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya sebarang usaha pindaan atau cadangan melibatkan TH perlu dinilai secara bersama dengan pemegang taruh yang lain terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil rakyat.

Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya terburu-buru melakukan perubahan terhadap TH kerana dikhuatiri akan memberikan kerugian kepada pendeposit sekali gus merosakkan imej kerajaan secara keseluruhan.

“Pemuda UMNO sudah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenainya dan akan terus memantau dengan dekat perkembangan isu ini bagi memastikan kepentingan umat Islam dan kemurnian falsafah kewujudan TH terus terpelihara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pengurusan, operasi Tabung Haji akan ditambah baik