X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Penghantar Grab, Foodpanda kini dilindungi Perkeso

Penghantar barangan dan makanan Grab Malaysia dan Foodpanda kini dilindungi Perkeso dengan manfaat bantuan pembiayaan penuh caruman sebanyak RM232.80 setahun. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM – Lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan Grab Malaysia dan Foodpanda termasuk yang menggunakan motosikal, basikal dan pejalan kaki kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan manfaat bantuan pembiayaan penuh caruman sebanyak RM232.80 setahun.

Perkeso dalam kenyatan bersama Grab Malaysia dan Foodpanda berkata, kedua-dua platform penyedia perkhidmatan terkemuka itu telah mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung.

“Kerjasama strategik antara Perkeso dan platform penyedia perkhidmatan ini merupakan satu lagi pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk rakan penghantar.

“Kerajaan melalui SPS Lindung menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

“Selaku peneraju dalam kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda merupakan dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut dan hasilnya, rakan penghantar mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu pada Jumaat.

Program SPS Lindung diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November tahun lepas sebagai pakej perlindungan Perkeso kepada mereka yang bekerja sendiri.

Program itu merupakan penambahbaikan kepada program PenjanaGig yang diperkenalkan sejak 15 Jun 2020 dengan beberapa manfaat perlindungan keselamatan sosial.

Antaranya faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, faedah pinjaman pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani dan serta vokasional.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dalam kenyataan sama berkata, pihaknya menyanjung keprihatinan dan rasa tangggungjawab yang dizahirkan kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan itu.

Menurutnya, komitmen dan teladan dalam memberikan perlindungan sosial akan membangkitkan semangat rakan penghantar untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Lebih daripada itu, akan mendorong platform penyedia perkhidmatan yang lain untuk mencontohi mereka.

“Saya menyeru semua platform penyedia perkhidmatan untuk turut mengikuti jejak langkah Grab Malaysia dan Foodpanda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar.

“Seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi,” tambah beliau.

Pengarah Urusan, Grab Malaysia Sean Goh berkata, pihaknya akan terus menyediakan platform yang selamat, inklusif dan boleh diyakini supaya rakan penghantar dapat memperoleh pendapatan dengan pasti.

Ujarnya, SPS Lindung melengkapkan perlindungan insurans GrabInsure 24/7 di bawah program GrabBenefits yang bertujuan untuk memberikan perlindungan sosial dan jaringan keselamatan kepada komuniti rakan pemandu dan penghantar.

Bagi Ketua Logistik Foodpanda, Shubham Saran, keselamatan dan kebajikan rakan penghantar akan sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan mereka tidak risau jika sesuatu tidak diingini berlaku.

Setakat 9 Julai 2021, statistik Perkeso menunjukkan seramai 64,773 pencarum aktif dalam kalangan rakan penghantar telah berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS iaitu 39 peratus daripada keseluruhan 166,189 pencarum OBS aktif.

Jika dibandingkan dengan 2.72 juta OBS yang direkodkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, jumlah OBS yang mencarum dengan Perkeso adalah masih rendah, iaitu hanya 6.1 peratus.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!