X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Syor lantik Ahli Dewan Negara dalam RCI Tabung Haji

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan Ahli Dewan Negara dilantik menyertai keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, penubuhan RCI itu diharap akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.

“Menerusi RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.

“Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin siasatan RCI kelak membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan dan operasi haji serta pelaburan dana akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH susulan mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!