Tiada permit rentas daerah, lelaki nekad berenang laut demi jumpa rakan

Lelaki tersebut berjaya diselamatkan oleh petugas PPSB dalam kejadian pada 12 Julai lalu. Foto: FB Penang Kini
Lelaki tersebut berjaya diselamatkan oleh petugas PPSB dalam kejadian pada 12 Julai lalu. Foto: FB Penang Kini
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki nekad berenang menyeberangi laut dari jeti feri di Tanjung City Marina di sini menuju ke Seberang Perai, Butterworth hanya semata-mata ingin berjumpa rakannya dalam kejadian Isnin lalu.

Dalam kejadian pada jam 6 petang itu, lelaki berusia 28 tahun berkenaan nekad terjun ke laut selepas gagal untuk mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah bagi tujuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki tersebut bagaimanapun berpatah balik menghala ke jeti feri di sini kerana kepenatan.

Menurutnya, dia kemudiannya diselamatkan petugas Penang Port Sdn Bhd (PPSB) lalu menyerahkannya kepada polis.

"Berdasarkan temubual awal yang dijalankan, lelaki berkenaan menyatakan nekad untuk berenang ke Seberang Perai untuk berjumpa rakannya.

"Dia berbuat demikian setelah gagal untuk mendapatkan kelulusan permit rentas daerah dari pihak polis kerana tiada alasan munasabah untuk merentas negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, pemeriksaan pada lelaki tersebut mendapati, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

"Dia hanya menyatakan butiran peribadi seperti nama dan nombor kad pengenalan secara lisan sahaja. Hasil semakan, dia berasal dari Bayan Lepas, di sini dan seorang penganggur.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut menghubungi ibu lelaki tersebut dan dia menyatakan, anaknya itu sudah lama tidak balik ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan. Ibunya juga mengakui anaknya itu merupakan penagih dadah tegar," katanya.

Soffian berkata, lelaki tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, lelaki itu mengalami patah tangan kanan dan kini dirawat di wad di HPP.

"Siasatan selanjutnya akan dijalankan selepas lelaki tersebut selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Pada Rabu, tular di media sosial video dan gambar seorang lelaki terjun ke laut namun telah berjaya diselamatkan petugas PPSB di jeti feri di Tanjung City Marina di sini.