Pekerja kasino rugi RM13,350 terpedaya tawaran kerja tidak wujud

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kasino kerugian RM13,350 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.

Mangsa berusia 23 tahun melayari laman sosial itu pada 4 Julai lalu dan tertarik dengan tawaran kerja sebagai ejen sambilan sebuah platform pembelian dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi talian yang tertera untuk mendapatkan peluang kerja tersebut.

Menurutnya, mangsa bersetuju menjadi ejen dengan hanya menjalankan tugasan yang diberikan dan dibayar komisyen sebanyak lima peratus.

"Bagi bagi mendapatkan peluang itu, mangsa dikehendaki membuat bayaran RM13,350 dan dia berbuat demikian melalui enam transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank atas nama individu berbeza.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa memberitahu perkara itu kepada salah seorang rakan.

"Rakannya curiga dan syak mangsa telah ditipu dengan tawaran kerja tidak wujud," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: