MAFI kaji cadangan wujudkan pusat kuarantin setempat

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang mengkaji cadangan mewujudkan Pusat Kuarantin Setempat atau One Stop Quarantine Centre (OSQC) bagi memperkasakan dan memperkukuh aspek biosekuriti dan keselamatan makanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan penubuhan OSQC ini adalah rentetan risiko penyakit atau perosak yang dibawa bersama dagangan, yang mana OSQC dengan memenuhi standard antarabangsa akan dikaji untuk dibangunkan di pintu masuk negara.

Beliau berkata, perkara itu bagi memastikan setiap dagangan agromakanan melalui proses pemeriksaan dan kuarantin yang komprehensif di pintu masuk sebelum diimport masuk atau dieksport ke luar negara.

Secara umumnya, beliau berkata OSQC yang dicadangkan itu akan mempunyai lima fungsi iaitu pengesanan virus/mikroorganisma, proses pembasmian kuman, pusat kuarantin, pensijilan kuarantin dan pencegahan aktiviti haram.

“Buat masa ini, negara tidak mempunyai satu pusat kuarantin setempat sebegini yang dilengkapi dengan teknologi terkini di setiap pintu masuk bagi membolehkan pemeriksaan komprehensif dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

“Selain daripada pembangunan infrastruktur dan fasiliti, projek ini juga melibatkan cadangan pembangunan sistem teknologi maklumat tersendiri untuk membantu proses kebolehkesanan dan automasi akan digunakan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, dimaklumkan Ronald telah menyerahkan produk daging sejuk beku yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara berjumlah 54 tan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta kepada lapan jabatan dan agensi.

Produk sejuk beku diserahkan di Pelabuhan Klang pada Selasa itu adalah hasil rampasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang telah dilucuthakkan yang membabitkan kes dari bulan Februari sehingga April.

Artikel Berkaitan:

Beliau membuat penyerahan tersebut kepada wakil-wakil di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), antaranya Zoo Taiping Perak, Zoo Melaka, pihak Lost World of Tambun Perak, National Wildlife Rescue Center (NWRC) Perak serta kepada pihak Penjara Penor Pahang, Penjara Pengkalan Chepa Kelantan dan Penjara Marang Terengganu.

“MAFI melalui Maqis komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi sumbangan kepada mana-mana jabatan atau agensi yang memerlukan seperti pihak zoo dan pihak Penjara yang mana sitaan tersebut akan dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makanan haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan liar,” katanya. - Bernama