'Tun M ke Semenyih bukan kerana bimbang keadaan PH'

Abu Bakar Yahya
Abu Bakar Yahya
A
A
A

SEMENYIH - Kehadiran Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Semenyih yang dijadualkan pada 28 Februari ini bukan petanda risau dengan keadaan PH dalam PRK DUN Semenyih.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, itu semua hanya persepsi dicipta lawan yang mungkin kurang senang melihat kehadiran Dr Mahathir.

“Tu semua orang cakap. Kalau tak datang pun orang kata juga. Apa yang penting kita buat setakat yang boleh kita buat.

“Saya difahamkan Tun akan berucap di Semenyih pada malam 28 Februari nanti. Setakat ini, itu saja jadual yang ada,” katanya dalam sidang media di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri itu membidas sesetengah pihak yang membangkitkan desakan meminta Dr Mahathir digugurkan daripada menjadi perdana menteri.

“Kita ada Majlis Pimpinan Tertinggi PH, kalau nak dengar cakap orang bawah letihlah kita. Baik kita dengar dari pucuk pimpinan.

“Pucuk pimpinan tak kata apa pun. Kenapa mesti nak dengar berita tak sahih? Yang penting kita kena hormat Tun dan semua presiden yang ada dalam PH,” ujarnya.

Sementara itu, Abu Bakar menganggap kajian kononnya BN akan menang PRK DUN Semenyih hanyalah persepsi semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, PH akan terus bekerja kuat dan siapa pemenangnya hanya akan diketahui pada malam 2 Mac nanti.

“Itu persepsi mereka, kita tunggu keputusan pada malam 2 Mac nanti. Saya akan bantu selagi saya boleh bantu.

“Selagi saya diperlukan saya akan bantu parti saya. Apa guna saya ada jawatan dalam parti tapi parti saya tersungkur dalam pilihan raya,” tegas beliau.