Ekonomi negara dijangka tumbuh pada kadar sekitar 4.0 peratus

Foto 123RF, gambar kecil: Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Foto 123RF, gambar kecil: Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Ekonomi negara dijangka tumbuh pada kadar sekitar 4.0 peratus tahun ini, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut laporan Astro Awani, Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan akan menyemak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara selepas lebih banyak data diterima.

“Kami masih mengkaji (KDNK) kepada jumlah yang lebih rendah dan angka sebenar akan diumumkan selepas dapat lebih banyak data,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg TV pada Isnin.

Bank Dunia baru-baru ini menurunkan unjuran pertumbuhannya bagi KDNK Malaysia buat kali kedua kepada 4.5 peratus bagi 2021 iaitu daripada 6.0 peratus yang diunjurkan pada Mac dan 6.7 peratus pada tahun 2020 selepas mengambil kira peningkatan jangkitan kes Covid-19 serta program pemberian vaksin yang lebih perlahan daripada dijangkakan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menjangka had hutang negara mungkin dinaikkan daripada 60 peratus semasa kepada 65 peratus untuk membolehkan kerajaan meminjam bagi membiayai pelan bantuan ekonomi.

Ujarnya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pelan yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik ikut keperluan semasa.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, Malaysia perlu sentiasa tangkas dan bersedia untuk meminda perancangan berdasarkan situasi semasa.

Menurutnya, ini harus dilakukan dengan mendengar nasihat pakar dalam bidang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mengambil contoh kadar vaksinasi yang kini melepasi 300,000 dos sehari, menyatakan kerajaan akan berusaha memastikan kadar vaksinasi terus meningkat dan imuniti kelompok dicapai secepat mungkin.

“Oleh itu, strategi yang lebih agresif merangkumi ‘lockdown’ di kawasan terjejas dan peningkatan ujian besar-besaran secara bersasar seperti di Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur telah dilaksanakan.

"Kapasiti unit rawatan rapi (ICU) juga ditingkatkan dengan kerjasama hospital swasta, sementara lebih banyak hospital awam, pengajar dan tentera telah diklasifikasikan sebagai hospital Covid-19.

“Ini adalah strategi yang bersasar untuk mengoptimumkan sumber berdasarkan fakta dan data,” ujarnya. - Awani