2 pegawai kanan direman, polis Kelantan beri kerjasama kepada SPRM

Abdullah Muhammad Piah
Abdullah Muhammad Piah
A
A
A

KOTA BHARU - Polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap dua pegawai kanannya yang kini direman disyaki terlibat rasuah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan dalaman selari dengan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.

"Dalam pada itu, saya juga ingin menyeru warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengelakkan diri daripada perbuatan rasuah kerana ia boleh meruntuhkan dan merosakkan imej, malah hilang keyakinan rakyat terhadap polis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa dekat sini pada Ahad.

Pada Sabtu, seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan direman lima hari bagi membantu siasatan susulan penahanan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan selepas disyaki meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Deputi Superintendan direman bantu siasatan kes rasuah

Ditanya tindakan polis terhadap kedua-duanya yang berusia 48 tahun itu, Abdullah berkata, buat masa ini mereka ditahan kerja dan sekiranya didapati bersalah serta dijatuhi hukuman oleh mahkamah, maka pihaknya akan menamatkan perkhidmatan mereka.

"Apabila dijatuhi hukuman di mahkamah, kita (PDRM) akan gantung kerja mereka terlebih dahulu dan seterusnya penamatan perkhidmatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung perkembangan penemuan mayat reput dan berkecai dekat Pasir Puteh pada 3 Julai lepas, Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka siap dalam seminggu atau dua minggu ini.

"Setakat ini, polis belum kenal pasti identiti mayat itu. Justeru, kita menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil melaporkan kepada kami," katanya. - Bernama