Vietnam ikrar keselamatan maksima sepanjang persidangan Trump,Jong-un

Tentera Vietnam berkawal di pintu masuk Stesen Kereta Api Dong Dang di mana Kim Jong-un dijangka tiba di bandar Dong Dang, wilayah Lang Son, Vietnam.- Foto AP
Tentera Vietnam berkawal di pintu masuk Stesen Kereta Api Dong Dang di mana Kim Jong-un dijangka tiba di bandar Dong Dang, wilayah Lang Son, Vietnam.- Foto AP
A
A
A

HANOI - VIETNAM. Vietnam kini berada dalam fasa persiapan terakhir menjelang persidangan antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dijadual berlangsung Rabu dan Khamis ini.

Di ketika kereta api kalis peluru yang membawa Jong-un dan delegasinya sedang mengharungi perjalanan dari China menuju ke Hanoi, dan Presiden Trump yang dijangka tiba malam esok, Vietnam bertungkus lumus memastikan segala perincian persidangan berjalan dengan lancar.

Pihak berkuasa di Hanoi berkata, mereka hanya mempunyai lebih kurang 10 hari untuk menyiapkan segala keperluan persidangan, ia masa terhad berbanding tempoh dua bulan yang dimiliki Singapura untuk menganjurkan persidangan bersejarah yang menyaksikan pertemuan kali pertama Jong-un dan Trump.

Namun begitu, Vietnam tekad untuk memberikan kawalan keselamatan terbaik buat kedua-dua pemimpin selama mereka berada di negara itu.

"Keselamatan akan berada pada tahap maksima," kata Timbalan Menteri Luar, Le Hoai Trung kepada wartawan dalam majlis ringkas memaklumkan usaha Vietnam menyambut kedatangan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Vietnam turut menjanjikan kemungkinan penutupan lebuh raya Dong Dang di sempadan China menuju ke Hanoi, bagi memastikan kelancaran perjalanan Jong-un dan delegasi.

Ratusan tentera dilapor turut dikerah untuk berkawal di kawasan berhampiran Stesen Kereta Api Dong Dang yang menjadi stesen perhentian untuk Jong-un sebelum meneruskan perjalanan ke Hanoi menggunakan kereta.

Janji keselamatan itu pastinya dihargai pihak berkuasa Korea Utara yang amat menitik beratkan soal keselamatan Jong-un.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Kementerian Informasi Nguyen Manh Hung berkata, 3,000 wartawan dari 40 negara yang dijangka berkunjung ke Vietnam bagi membuat liputan persidangan boleh mengharapkan kerjasama terbaik daripada pihaknya.

Perhatian dunia sekali lagi akan terarah kepada persidangan yang menyaksikan Trump dan Jong-un cuba menangangi salah satu isu keselamatan paling besar di Asia, namun ramai penganalisis beranggapan, kempen nyahnuklear Semenanjung Korea tidak akan terlaksana dengan mudah.

Persidangan kali ini diharap dapat memberikan impak lebih jelas berbanding perjanjian yang ditandatangani di Singapura pada Jun tahun lalu, dan Trump dilihat masih meletakkan harapan tinggi agar Jong-un mengotakan janjinya, selain berkata, tanpa senjata nuklear, Korea Utara mampu menjadi antara kuasa ekonomi dunia. - AP