X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

Bank Negara Malaysia
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis bersetuju untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

BNM dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan jawatankuasa berkenaan berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

“Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“BNM juga terus komited untuk menggunakan pelbagai mekanisme bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Mengulas lanjut dari segi ekonomi Malaysia, BNM berkata, ia menunjukkan prestasi yang bertambah baik daripada jangkaan pada suku pertama sehingga April lepas terutamanya eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja.

Bagaimanapun, menurutnya, pelaksanaan semula langkah-langkah untuk mengekang penularan semula kes Covid-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan.

“Penggunaan automasi dan pendigitalan akan mengurangkan sebahagian daripada kesan sekatan pergerakan walaupun kebenaran diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk terus beroperasi pada kapasiti yang sedikit,” katanya.

Dalam kenyataan sama, BNM berkata, kadar inflasi di negara meningkat secara mendadak disebabkan oleh kesan asas daripada harga bahan api yang rendah pada suku kedua tahun lalu.

Jelasnya, peningkatan mendadak itu adalah bersifat sementara dan inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana pada tempoh terdekat apabila kesan asas tamat tarikh luput.

“Bagi tahun ini, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih hampir dengan angka yang lebih rendah dalam julat unjuran. Inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras juga dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus.

“Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga komoditi global,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!