JAWI tetapkan had baharu jemaah di masjid, surau

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Aidiladha di masjid serta surau dalam Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa pada Jumaat.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, untuk kawasan dilaksanakan Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), bilangan jemaah solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 300 orang dan 100 orang bagi solat fardu, manakala di lapan masjid pusat zon dibenarkan 100 orang untuk solat Jumaat serta solat sunat Aidiladha dan 50 orang bagi solat fardu.

"Untuk Masjid Kariah dan surau Jumaat, jemaah bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha yang dibenarkan adalah 50 orang, sementara solat fardu 30 orang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bilangan jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat adalah 40 orang, sementara solat fardu 20 orang.

Sementara itu, 12 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat fardu di Surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hanya tiga jemaah dibenarkan untuk melaksanakan solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur.

Mohd Ajib berkata, semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: