Rekod kerja baik mudahkan komuniti India

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Semenyih, Ladang Rinching yang menjadi antara penempatan terbesar masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, tidak ketinggalan mendapat manfaat pelbagai insentif yang dilaksana Kerajaan Negeri Selangor.

Sehubungan itu, penduduk di situ rata-rata mahu rekod baik yang ditunjukkan Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) diteruskan.

Menurut seorang penduduk, Suresh Doraisamy, 50, sejak 10 tahun lepas banyak perubahan yang boleh dilihat di kawasan itu termasuk pembinaan dan penambahbaikan kemudahan awam seperti jalan raya.

“Bukan pembangunan fizikal sahaja malah isteri saya turut menerima bantuan di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan kami juga menerima bekalan air bersih percuma daripada Kerajaan Negeri," katanya.

“Tetapi yang paling penting buat masyarakat India di sini adalah kami mahukan sebuah kerajaan yang bersih, sekiranya bersih dan amanah segalanya akan berjalan dengan baik, dan PH memang sudah ada trek rekod dalam soal ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Program KISS yang disebut beliau merujuk kepada inisiatif kebajikan khusus bagi kaum ibu dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (Kumpulan B40) bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup menerusi bantuan kewangan bagi pembelian barangan keperluan asas.

Ladang Rinching, yang satu ketika dahulu didiami pekerja ladang getah dan kelapa sawit, terletak di kawasan DUN Semenyih yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) pada 2 Mac ini.

Kini, penduduk yang mendiami kira-kira 40 rumah di situ bukan lagi pekerja ladang tetapi bekerja di Semenyih dan kawasan sekitar susulan kawasan ladang mereka dibangunkan termasuk sebagai kawasan perumahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi suri rumah Wasanthi Atchutahsingh, 55, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri namun meminta perhatian diberi berhubung soal pengangkutan awam ke Seremban dari Semenyih.

“Kemudahan asas semua baik, saya juga menerima banyak bantuan seperti program rawatan kesihatan di bawah Skim Peduli Sihat dan inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), katanya.

Naib Presiden PKR merangkap Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata beliau mula berusaha membantu masyarakat India di situ apabila memegang jawatan exco Kerajaan Negeri Selangor dulu.

Pelbagai isu melibatkan penduduk tempatan terutama berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan kuil telah mendapat perhatian dan bantuan Kerajaan Negeri.

“Bantuan ini akan diteruskan bagi membantu masyarakat kaum India di sini. Saya juga dah maklumkan kepada calon (PH) tentang keperluan bekerja dengan pemimpin masyarakat India bagi menyelesaikan sebarang masalah,” katanya.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng. - Bernama