Bincang tuntutan jawatan TPM, bukan keluar kerajaan: Sumber

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengesahkan satu mesyuarat badan tertinggi parti itu akan diadakan secara maya pada jam 8.30 malam Rabu.

Pelaksanaan mesyuarat badan pembuat keputusan tertinggi UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dibuat susulan parti itu difahamkan bakal memuktamadkan keputusan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos hadapan.

Bagaimanapun, sumber ahli MKT yang juga merupakan seorang ahli Parlimen berkeyakinan mesyuarat MKT UMNO pada Rabu malam, tidak akan melakukan keputusan drastik berkenaan, sebaliknya lebih menfokuskan usaha membincangkan pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO.

Jelas beliau, terdapat cadangan daripada salah seorang ahli Parlimen UMNO yang meminta supaya Ahmad Zahid menghentikan sebarang 'gerakan' memujuk mereka bagi menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat.

Tambah sumber berkenaan, ahli Parlimen yang tidak didedahkan identiti itu sebaliknya meminta Ahmad Zahid menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan beberapa kementerian penting seperti ekonomi dan kewangan, diberikan kepada UMNO demi memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

"Perkara itu dicadangkan dalam satu pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO bersama Zahid malam semalam (Isnin malam) dengan Presiden UMNO memberi jaminan akan membawa pendirian dan pandangan itu ke dalam mesyuarat MKT esok (Rabu).

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi mesyuarat tertutup di antara Ahmad Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama beberapa pemimpin tertinggi parti tersebut selama lebih dua jam di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada Isnin malam.

Pertemuan itu dibuat dipercayai susulan beberapa pemimpin tertinggi UMNO berada di Ibu Pejabat parti itu pada Isnin bagi membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil selepas berakhirnya tempoh 14 hari diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Antara yang dilihat hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Susulan itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkeyakinan parti itu akan memuktamadkan keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos, susulan Ahmad Zahid mendapat perakuan sokongan majoriti ahli MKT.

Sementara itu, sumber MKT UMNO itu turut menegaskan ahli-ahli Parlimen yang berpendirian tidak akan menarik sokongan daripada kerajaan PN, tidak dianggap melanggar perlembagaan parti susulan keputusan PAU 2020 adalah tertinggi berbanding ketetapan MKT.

Jelas beliau, MKT UMNO juga diminta membuat kaji selidik dan meneliti sama ada tindakan keluar kerajaan PN sekarang akan memberikan keuntungan kepada UMNO sendiri, pada saat rakyat menderita akibat krisis pandemik Covid-19.

"Ahli-ahli Parlimen UMNO bersetuju untuk 'pull the plug', tetapi ia perlu dibuat mengikut kesesuaian masa. Sama juga dengan keputusan mahu bubar Parlimen, kena fikir kesesuaian masa kerana kalau salah masa dan ketika, UMNO akan menerima padah.

"Justeru, parti tidak boleh buat keputusan terburu-buru. Kalau sekiranya UMNO ambil alih kerajaan sekali pun, adakah kita mampu menjamin krisis Covid-19 dan masalah ekonomi akan menjadi bertambah baik?" katanya.

Sumber UMNO berkenaan turut 'menasihati' golongan pro-Presiden parti agar jangan berlagak untuk menjadi 'Aladdin dan memberi jaminan gosokan lampu ajaib mampu selesaikan masalah'.

"Dengan varian baharu Covid-19 yang semakin ganas, kerajaan Australia pun masih bergelut untuk membendung pandemik itu meskipun tidak berdepan masalah bekalan vaksin seperti kita.

"Jangan hendak jadi Aladdin...takut gosok lampu ajaib nanti apa pun tidak keluar," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO yang enggan dinamakan turut mengesahkan mesyuarat MKT UMNO akan diadakan secara maya pada Rabu.

"Soal sama ada UMNO akan menarik sokongan daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos, segalanya bergantung kepada keputusan mesyuarat MKT esok (Rabu)," katanya.