Wanita dicabul, dipukul penyamun pecah rumah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita dicabul dan dipukul oleh seorang lelaki yang bertindak memecah masuk rumahnya di Bukit Padang, pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa berusia 34 tahun itu terpaksa bergelut dengan suspek sebelum berjaya menyelamatkan diri dan keluar mendapatkan pertolongan jiran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang baru selesai mandi tiba-tiba diserang oleh suspek dan diheret ke tilam.

"Mangsa yang meronta dan menjerit meminta tolong beberapa kali ditumbuk serta dicekik oleh suspek.

"Kepala mangsa juga dihentak ke dinding bilik tetapi mangsa terus melawan dan berjaya membuka pintu utama serta menjerit meminta pertolongan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah beliau, seorang jiran terdengar jeritan itu dan segera memeriksa keadaan belakang rumah sebelum terlihat suspek melompat keluar dari tingkap rumah mangsa.

"Jiran mangsa kemudian memaklumkan mengenali suspek yang dikatakan turut tinggal di salah sebuah rumah di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan siasatan Jabatan Forensik dan maklumat yang diterima, polis kemudiannya menahan suspek dan merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Susulan tangkapan itu, suspek mengaku masuk ke dalam rumah mangsa untuk mencuri, namun bertukar niat cuba mencabul selepas melihat keadaan mangsa ketika itu," katanya.

Mohd Zaidi berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 akta yang sama atas kesalahan mencederakan mangsa," katanya.