300 petugas barisan hadapan terima bantuan MAFI

Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 300 petugas barisan hadapan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) menerima bantuan berbentuk hasil pertanian kesinambungan daripada program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dikenali sebagai MAFI Prihatin pada Isnin.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata. sehingga 3 Julai seramai 19,572 orang telah menerima manfaat daripada program MAFI Prihatin sejak ia dilaksanakan pada 27 Mei lalu.

“Mereka (penerima) terdiri daripada petugas hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 78 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 37 metrik tan makanan disalurkan,” kata Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mewujudkan 45 Pasar Segar Terkawal (PST) bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan serta pemasaran makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, seramai 2,154 usahawan tani di seluruh negara terbabit dan PST berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.25 juta sejak 1 Jun sehingga 3 Julai.

Beliau berkata, 419 usahawan tani yang terkesan semasa tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dibantu dengan memasarkan 38 jenis hasilan pertanian dalam program Ladang Kontrak 2.0 MAFI.

Katanya, FAMA turut mewujudkan Bilik Gerakan (Pusat Pengurusan Krisis) yang beroperasi pada 8 pagi hingga 7 malam bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian boleh melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian hotline FAMA di 019-7476754/013-3777100/010-7632684. - Bernama

Artikel Berkaitan: