X

Kindly register in order to view this article
!

Setiausaha politik Ismail Sabri buat laporan polis terhadap Lokman

Syed Mohd Fazmi bercakap kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha politik kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pada Isnin.

Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membuat laporan tersebut kerana mendakwa Lokman menyebarkan fitnah terhadap Ismail Sabri dalam satu hantaran video menerusi Facebook pada Ahad.

Beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini sekitar jam 2.30 petang Isnin.

“Pemilik akaun Facebook tersebut membuat tuduhan bahawa Ismail Sabri cuba menyakinkan ahli UMNO untuk menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika tidak dipilih sebagai calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Setelah meneliti isi kandungan video berdurasi 1 jam 42 saat tersebut, saya mendapati dengan jelas pemilik akaun tersebut telah membuat fitnah dan hasutan kepada Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Kanan Pertahanan dan Naib Presiden UMNO.

“Saya diberitahu oleh Ismail Sabri bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan itu. Pelbagai tuduhan dan cacian turut dilemparkan oleh pemilik akaun Facebook tersebut,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di IPD Dang Wangi pada Isnin.

Syed Mohd Fazmi turut menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah akta yang berkaitan dengan fitnah dan Akta Hasutan 1948.

“Kami telah menyerahkan pautan video yang dimuat naik menerusi halaman Facebook Live dan YouTube tersebut kepada polis. Pautan video tersebut didapati masih ada di laman Facebook Lokman Adam (pada Isnin).

“Saya memohon polis menyiasat mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah seperti Akta Hasutan 1948, Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta SKMM (Akta 1998) kerana sewenang-wenangnya membuat tuduhan terbuka dan menyebabkan kerosakan imej,” tegas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!