Teliti isu kahwin bawah umur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU perkahwinan bawah umur hangat diperkatakan ketika ini. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan 5,362 permohonan di antara Januari 2013 hingga Disember 2017. Walau bagaimanapun, terdapat penurunan jumlah permohonan di seluruh negara dalam tempoh sama iaitu dari 1,192 bagi 2013 kepada 877 permohonan pada 2017.

Enakmen Keluarga Islam secara umum meletakkan had minimum umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang boleh berkahwin. Sekiranya mereka di bawah umur yang ditetapkan mereka perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah dan persetujuan ibu bapa, contohnya mengikut Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008.

Bagi orang bukan Islam, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 meletakkan usia minimum 18 tahun bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Namun, kebenaran bertulis hendaklah diperoleh daripada Ketua Menteri berdasarkan Seksyen 10 sekiranya melibatkan pemohon dan pasangan di bawah umur antara 16 ke 18 tahun.

Demi menangani isu perkahwinan bawah umur khususnya melibatkan generasi muda beragama Islam, JKSM mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai rujukan mahkamah syariah seluruh negara berkuat kuasa 23 Julai tahun lalu.

Dengan SOP ini, hakim syarie boleh mempertimbangkan permohonan dari sudut dokumentasi seperti laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, laporan kesihatan dan polis. Ia juga mengambil kira maklumat latar belakang pemohon dan pasangan antaranya pendapatan, kedudukan sosial, kemampuan dan pendidikan.

Mahkamah syariah dapat berfungsi lebih efektif tanpa menggugat bidang kuasanya dalam perihal perkahwinan orang Islam menurut Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri. Usaha pemerkasaan undang-undang keluarga Islam sedia ada merupakan langkah membina.

Namun, cadangan serta langkah untuk melarang secara mutlak perkahwinan bawah umur perlu penelitian mendalam. Ini kerana larangan itu berisiko menggadai prinsip keadilan serta kemanusiaan.

Pasangan yang ingin berkahwin dan mahu mengelak daripada terjebak ke kancah zina akan dinafikan hak dan pilihan. Ada di antara mereka memiliki kematangan untuk memikul tanggungjawab dan bersedia untuk dipertanggungjawabkan walaupun di usia bawah 18 tahun. Oleh yang demikian, ilmuan Islam mengharuskan perkahwinan sebelum umur mencapai 18 tahun dengan syarat tertentu.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, ia merumitkan keadaan bagi pasangan terlanjur dan ingin mengesahkan hubungan di sisi perundangan. Nasib sama turut menimpa pasangan yang menerima kelahiran anak luar nikah kerana larangan perkahwinan bawah umur lantas tidak diiktiraf sebagai unit keluarga yang sah.

Akibatnya mereka buntu dan terpaksa mengambil jalan mudah untuk menutup malu dan mengelak kecaman masyarakat. Bahkan, pengabaian elemen pertanggungjawaban dalam kalangan pasangan muda boleh menjurus ke arah hubungan terlarang dan jenayah.

Fahaman liberalisme mengikut nafsu, gaya hidup bebas dan penolakan terhadap nilai agama yang kian berleluasa mengakibatkan gejala sosial dan maksiat seperti pornografi, khalwat dan seks luar nikah sukar untuk dibendung pihak berwajib. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, 4,992 kanak-kanak tidak sah dilahirkan remaja perempuan berumur 18 tahun ke bawah pada tahun 2017.

Sebaliknya, kerajaan harus mengambil langkah menyeluruh dan mencari penyelesaian berakar umbi. Setiap negeri berdepan masalah berbeza dan tidak mungkin dapat diatasi dengan mekanisme serupa.

Di Sarawak dan Sabah permohonan perkahwinan bawah umur melibatkan Orang Asli dikaitkan dengan adat dan ditadbir oleh tok batin yang mempunyai kuasa mengenai perihal perkahwinan.

Di Kelantan, terdapat 15 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan di mahkamah syariah sejak awal tahun lalu hingga Januari 2019. Namun, hanya 10 permohonan diluluskan menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty.

Beliau berkata demikian ketika Forum Perdana Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-Kanak di Dewan Kuliah C, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian pada 14 Februari lalu.

Walaupun Selangor merupakan negeri maju, terdapat 385 permohonan kebenaran nikah bawah umur sejak Januari 2013 hingga Disember 2017. Bagi tahun 2018 sehingga Oktober, 34 daripada 48 permohonan diluluskan.

Oleh itu, Dewan Undangan Negeri Selangor pada September tahun lalu dengan perkenan DYMM Sultan Selangor telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2018) yang antara lain menyeragamkan had umur minimum perkahwinan orang Islam bagi wanita dari 16 ke 18 tahun.

Pada masa sama, usaha harus digembleng bagi meningkatkan kesedaran serta kualiti hidup masyarakat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Golongan kurang bernasib baik dibantu untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM dan JKSM wajar diperkukuh bagi menyediakan sistem sokongan dari segi perundangan, kebajikan dan kewangan.

Ini bertujuan agar pasangan yang dibenarkan berkahwin dapat menempuh alam rumah tangga sekiranya mereka berada dalam fasa kritikal. Ia juga membuktikan bahawa mereka tidak disisihkan malah mendapat perhatian kerajaan.

Inisiatif KPWKM untuk memastikan pendidikan wajib ke atas kanak-kanak menjadi pemangkin dalam membentuk generasi muda yang komited terhadap kemajuan diri dan masa depan.

Semoga dengan usaha menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat persekutuan mahupun negeri, kerajaan ataupun badan bukan kerajaan, isu perkahwinan bawah umur dapat ditangani dengan lebih bijak dan rasional tanpa terpengaruh dengan emosi serta prejudis.

* Penulis ialah Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)