X

Kindly register in order to view this article
!

Hilangkan keterangan kes pecah masuk, dua lelaki dipenjara 16 bulan

Tujuh suspek kes pecah masuk pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Ahad.
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Ahad atas kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan berkaitan kes pecah masuk pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar pada 23 Jun lalu.

Majistret Norhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwari Abdullah, 34, dan Ahmad Hafifi Harun, 34, selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh, iaitu Mat Saufian Mohamed, 55, Mohd Sharimim Abdul Rahman Halawa, 35, dan Basri Bashah, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menyebabkan hilangnya keterangan berkaitan suatu kesalahan kecurian di pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar pada 23 Jun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan bagi mengelakkan pesalah daripada menerima hukuman yang sah lebih kurang jam 3.20 pagi pada hari sama di tepi pondok belakang sebuah rumah di Kampung Merdeka, Jalan Putra, di sini.

Kelima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, dua rakan mereka, Muhammad Nur Fahmi Che Pi,28 dan Muhammad Amin Hassan, 23, didakwa mencuri sebuah peti besi milik sebuah syarikat logistik dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan syarikat tersebut.

Muhammad Nur Fahmi dan Muhammad Amin bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu lebih kurang jam 2.15 pagi pada 23 Jun lepas di sebuah pejabat logistik cawangan Alor Setar di Taman Medan Putra II, Kampung Berjaya, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Dalilah Khalid manakala kesemua tertuduh masing-masing diwakili peguam termasuklah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Norhidayah menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang untuk kedua-dua pertuduhan bagi lima suspek yang tidak mengaku bersalah.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 23 Jun lepas, pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar dipecah masuk hingga mengakibatkan kerugian RM400,000.

Susulan itu, seramai 11 lelaki termasuklah tiga anggota polis ditahan bersabit kes pecah masuk pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tujuh suspek kes pecah masuk pejabat syarikat logistik cawangan Alor Setar didakwa dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini pada Ahad.

Katanya, dua suspek didakwa dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan bersama-sama mencuri dalam bangunan yang boleh dihukum penjama sehinggan 10 tahun dan denda.

Kamarul Zaman berkata, lima lagi suspek termasuklah tiga anggota polis dituduh dibawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana bersama-sama menyebabkan hilangya keterangan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara selama tujuh tahun dan denda.

Tambah beliau, polis telah menjalankan siasatan dan membuat rampasan semula ke atas wang tunai berjumlah hampir RM378,000, sekali gus melengkapkan siasatan kes itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!