Peralihan fasa dua bukan tiket untuk rakyat bebas

Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Iqromah (kiri) di Kampung Kutan Tengah, Tumpat pada Ahad.
Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Iqromah (kiri) di Kampung Kutan Tengah, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Kejayaan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin bukan tiket untuk rakyat negeri ini bebas daripada melawan penularan Covid-19.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat seharusnya terus memberi komitmen yang utuh bagi memastikan keadaan kembali normal seperti biasa.

“Saya sangat berharap rakyat di negeri ini terus patuh dengan usaha melawan penularan Covid-19. Program Outreach Covid-19 diharap dapat dilaksanakan dengan lebih banyak bagi membolehkan lebih ramai penduduk mendapat suntikan vaksin,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau ditemui ketika mengadakan kunjungan ke rumah Iqromah Anuar, 50, di Kampung Kutan Tengah di sini yang dipecah masuk pencuri pada pagi Sabtu.

Ahmad berkunjung ke rumah Iqromah bagi menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu tunggal berkenaan.

Hadir sama mengiringi ialah Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Kelantan antara lima negeri yang memenuhi tiga nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa Isnin.

Empat lagi negeri ialah Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang mempergiatkan usaha menarik masyarakat supaya mengambil vaksin Covid-19 menerusi kerjasama Ketua Jajahan, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penghulu.

“Apabila kita peroleh bekalan vaksin yang dijangka pada minggu hadapan, kita harap lebih ramai penduduk akan mendapatkan suntikan ini nanti,” ujar beliau.