Polis kesan empat bendera hitam di Terengganu

Bendera hitam dipasang di papan tanda jalan pantai di Dungun. FOTO: Ihsan IPD Dungun.
Gambar kecil: Mohd Marzukhi
Bendera hitam dipasang di papan tanda jalan pantai di Dungun. FOTO: Ihsan IPD Dungun. Gambar kecil: Mohd Marzukhi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesan empat kes kibaran bendera hitam di Besut dan Dungun pada Sabtu ketika bermulanya kempen tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana kibaran bendera dilakukan di lokasi-lokasi awam termasuk di tepi jalan raya.

"Setakat ini, kami belum memanggil mana-mana individu untuk dirakamkan keterangan memandangkan ia masih baharu, tetapi pihak polis sedang mengesan mereka yang terlibat dengan kempen ini.

"Bagi individu yang dikesan terlibat dengan kempen ini, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, laman media sosial dibanjiri dengan seruan mengibarkan bendera hitam di hadapan rumah, kedai, jalanan atau mana-mana lokasi dirasakan sesuai yang didakwa sebagai tanda kekecewaan rakyat terhadap kerajaan.

Orang ramai turut diminta mengambil gambar dan memuat naik ke media sosial secara serentak pada jam 3 petang, Sabtu dengan menggunakan tanda pagar #Lawan sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut.

Kempen berkenaan muncul selepas satu lagi kempen serupa iaitu kempen kibarkan bendera putih untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tetapi tujuan berlainan.

Artikel Berkaitan: