BN tak pernah bincang perakuan bersama tinggalkan PN

Zambry bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran di Fasa 2F, Seri Manjung, Lumut pada Sabtu.
Zambry bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran di Fasa 2F, Seri Manjung, Lumut pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Isu mendapatkan perakuan bersama dalam kalangan ahli Parlimen UMNO untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos ini tidak pernah dibincangkan dalam Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, bukan itu sahaja malah perkara sama tidak pernah disentuh dalam kalangan parti-parti komponen BN yang lain.

"Saya selaku Setiausaha BN boleh maklumkan bahawa kita tidak ada apa-apa berkaitan dengannya.

"Ini mungkin berita-berita yang disampaikan oleh kalangan mereka yang mahu membuat berita sedangkan hal-hal demikian tidak pernah kita bincangkan," katanya ringkas kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran di Fasa 2F, Seri Manjung, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia bahawa UMNO Pusat sedang memanggil ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan PN dalam masa terdekat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Satu kesalahan jika ada usaha MKT UMNO keluar kerajaan’

Dalam laporan yang memetik sumber parti layak dipercayai itu memberitahu, lebih 10 ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di pejabat parti itu.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan: