Pulau Pinang benarkan ibadah korban di pusat ternakan

JHEAIPP membenarkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha dilaksanakan di pusat atau ladang penternakan di negeri ini, dengan SOP yang ketat. Gambar hiasan
JHEAIPP membenarkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha dilaksanakan di pusat atau ladang penternakan di negeri ini, dengan SOP yang ketat. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha dilaksanakan di pusat atau ladang penternakan di negeri ini, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengarahnya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, menerusi SOP yang diumumkan sebelum ini, pihaknya hanya membenarkan ibadah korban dijalankan di masjid, surau atau di pusat sembelihan.

“Namun dalam SOP terbaharu, kebenaran diberikan bagi memberikan peluang serta kemudahan kepada orang ramai melaksanakan ibadah korban di pusat atau ladang ternakan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Zakuan berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada orang ramai untuk mengadakan ibadah korban di pusat ternakan, yang mempunyai ruang lebih luas.

“JHEAIPP mendapati ada masjid atau surau di negeri ini yang mempunyai ruang terhad, jadi kebenaran menjalankan korban di pusat ternakan, dapat memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah mereka,” katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha dengan pematuhan ketat SOP, serta hanya boleh dilakukan di masjid, surau dan di pusat sembelihan. - Bernama

Artikel Berkaitan: