Manfaatkan peruntukan RM300,000 bantu rakyat ‘bendera putih’: DPIM

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) meminta semua ahli Parlimen untuk turun padang ke kawasan masing-masing dan membantu seluruh rakyat yang mengibarkan bendera putih di kediaman mereka dengan peruntukan yang diberikan kerajaan sebaik mungkin.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, dengan peruntukan RM300,000 yang disalurkan kerajaan kepada setiap 222 kawasan Parlimen, ia dijangka dapat dimanfaatkan 6,000 ketua keluarga yang memerlukan terutamanya golongan B40.

“Diharapkan bantuan kerajaan ini dapat disalurkan dengan segera kepada mereka yang memerlukan. Inisiatif rakyat ‘Bendera Putih’ dilihat sebagai satu langkah cepat untuk rakyat yang terkesan dan tiada makanan di rumah untuk memohon bantuan tanpa sebarang birokrasi.

“Kami menyokong penuh keputusan kerajaan menyalurkan bantuan tersebut tanpa mengira fahaman politik. Ia termasuklah di kawasan Parlimen pembangkang dan kawasan Ketua pembangkang di Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, rakyat hanya mahu ‘isi perut’ untuk tanggungannya dan bendera putih adalah simbol untuk menyatakan bantuan diperlukan.

Katanya, bendera putih bukanlah simbol menyerah kalah tetapi memohon bantuan disalurkan dengan segera memandangkan rakyat mungkin ada yang berdepan pelbagai kekangan untuk menghubungi wakil rakyat di kawasan mereka.

“Macam mana nak hubungi wakil rakyat atau wakil kepada wakil rakyat ketika sesetengah orang mungkin tidak mempunyai kredit telefon pun. Hanya pemimpin dari kalangan marhaen yang faham situasi ini. Mereka yang berada di kayangan atau puncak kuasa mungkin sudah lupa.

“Bendera putih dilihat sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan bantuan. Pasa masa sama, umat Islam juga perlu berdoa kepada ALLAH agar ALLAH menggerakkan hati-hati hamba-Nya yang lain untuk membantu.

Artikel Berkaitan:

“Bendera putih ialah gerakan rakyat untuk rakyat yang tidak perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Negara kita bertuah kerana rakyatnya bersikap sivil dan dambakan keharmonian.

“Ia bukanlah gerakan anti kerajaan atau rusuhan rakyat seperti yang berlaku di sesetengah negara apabila rakyat lapar dan pemimpin kerajaan alpa.

“Kerajaan pula diharapkan mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada rakyat kita yang tersisih. Golongan M40, B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya.