Kaji cadangan wajib suntikan vaksin imunisasi

Sahruddin (dua, kanan) menyempurnakan Hari Kanser Sedunia Peringkat negeri 2019.
Sahruddin (dua, kanan) menyempurnakan Hari Kanser Sedunia Peringkat negeri 2019.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mahu mengkaji cadangan untuk mewajibkan ibu bapa mengambil suntikan vaksin imunisasi ke atas anak masing-masing.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, ini berikutan, pada masa kini terdapat pelbagai penyakit muncul hingga mengakibatkan kematian kerana kegagalan kanak-kanak mendapat suntikan vaksin imunisasi.

Menurutnya, maka pihaknya turut menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksin imuniasi.

"Saya sangat setuju kerana pada masa sekarang banyak penyakit 'rare' (sukar ditemui) muncul.

"Maka, sekiranya kerajaan ingin mewajibkan suntikan imunisasi dan sekiranya gagal, kerajaan mahu mengenakan hukuman denda pada mereka (ibubapa) yang elak suntikkan vaksin, saya juga sangat setuju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai semalam Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, kementeriannya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan pertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Terdahulu, Sahruddin menyempurnakan Hari Kanser Sedunia Peringkat negeri 2019 di Paradigm Mall, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pada 21 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun maut disyaki akibat jangkitan difteria yang mana kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Ujar Sahruddin lagi, pihaknya menganggarkan sebanyak 90 peratus kanak-kanak di negeri ini menerima suntikan vaksin imunisasi yang disarankan Kementerian Kesihatan.

"Masyarakat khususnya golongan ibu bapa perlu peka dengan kepentingan suntikan vaksin imunisasi seperti yang disarankan pihak doktor.

"Ibu bapa juga turut disaran merujuk kepada kepada doktor bertauliah untuk mendapatkan maklumat dan kepastian berhubung permasalahan yang timbul.

"Kerajaan Persekutuan juga sentiasa memastikan ibubapa faham tentang kepentingan pengambilan suntikan vaksin imunisasi ini," katanya.