X

Kindly register in order to view this article
!

Tamak, mahu hidup mewah punca rasuah

Ridzuan (kanan) bersama Edlynna Hanie Hamid yang bertindak sebagai moderator.
A
A

SHAH ALAM - Jenayah rasuah berlaku apabila sifat integriti seseorang itu lemah selain wujud sifat tamak dalam diri kerana ingin hidup mewah melebihi daripada pendapatan yang diperoleh.

Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj), Ridzuan Abdul Malik berkata, selain itu, rasuah juga berlaku apabila wujudnya ruang dan peluang untuk mereka melakukannya.

Menurutnya, peluang melakukan rasuah ini berlaku apabila wujud kelemahan aspek kawalan dalaman organisasi dan kelemahan sistem serta prosedur kerja membolehkan pelaku mengambil kesempatan melakukan rasuah.

Beliau berkata, terdapat empat kesalahan utama di bawah Akta SPRM 2009 antaranya meminta atau menerima rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17(a) ASPRM 2009.

"Selain itu, menawar atau Memberi rasuah (Seksyen 17(b) ASPRM 2009), mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18 ASPRM 2009) dan menggunakan kedudukan atau jawatan bagi mendapatkan suapan (Seksyen 23 ASPRM 2009).

"Mulai 1 Jun 2020, kesalahan organisasi komersial di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 pula mula dikuatkuasakan," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-270 bertajuk 'Bahaya Bila Rasuah Jadi Biasa‘ disiarkan secara dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Ridzuan Abdul Malik
Ridzuan Abdul Malik

Wacana turut menampilkan Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya (UM), Lim San Shien dan Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman juga sebagai panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata, merujuk kepada Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, tafsiran suapan antaranya adalah wang, derma, hadiah, pinjaman dan apa-apa balasan berharga.

"Di Malaysia, rasuah dikategorikan sebagai jenayah serius yang merupakan kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran (seizable offence). Perkara ini adalah seperti mana peruntukan Seksyen 49(1) Akta SPRM 2009," katanya.

Beliau turut berkongsi statistik SPRM bagi tahun 2015 hingga 2020 yang mendedahkan seramai 2,975 belia berumur 40 tahun ke bawah terlibat dalam jenayah rasuah ditahan agensi penguat kuasa itu dalam tempoh lima tahun.

Katanya, jumlah berkenaan adalah lebih 50 peratus dari jumlah keseluruhan tangkapan iaitu 5,652 orang.

"Saya terangkan secara umumnya, jumlah tangkapan ialah seramai 5,652 orang terdiri daripada pelbagai sektor dari pelbagai peringkat umur dan jawatan.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, belia berumur 40 tahun ke bawah terlibat dalam jenayah rasuah atau ditangkap ialah seramai 2,975 iaitu meliputi 52.6 peratus, lebih separuh dari jumlah ini," katanya.

Ridzuan menambah, berdasarkan statistik sama, jumlah penjawat awam terlibat rasuah pula seramai 2,683 manakala orang awam pula seramai 1622 dan lain lain kategori iaitu swasta, politik serta sebagainya 1,347 orang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memberi kesedaran kepada golongan muda tentang rasuah, pihak SPRM telah mengadakan program Wira Anti Rasuah (WAR) di peringkat sekolah rendah manakala di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) pula, SPRM mewujudkan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) yang kini melibatkan 20 IPTA, 29 Institut Pengajian Guru, 57 IPT di bawah Mara dan sembilan IPTS.

Katanya, AMAR sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat Pencegahan Rasuah bermula pada 6 Disember 2007 dan penubuhan sekretariat berkenaan berikutan daripada dapatan Kajian Persepsi Awam Terhadap Rasuah Tahun 2002 yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Hasil dapatan tersebut mendapati 15 peratus daripada 494 pelajar sanggup memberi rasuah untuk melicin dan menyelesaikan sesuatu urusan.

"(Manakala) 23 peratus lagi sanggup memberi rasuah untuk mengelakkan dikenakan tindakan atas sesuatu kesalahan dan 30 peratus menyatakan sekiranya mempunyai kuasa, mereka sanggup menerima rasuah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 2,000 belia di Selangor terlibat rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa perlu jadi mata, telinga agensi penguat kuasa rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah alam sekitar merugikan masyarakat, negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!