Saya hanya baca teks ucapan: Tok Batin

Aleh Abdullah
Aleh Abdullah
A
A
A

SEMENYIH - Tok Batin Kampung Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah ,53, mendakwa bahawa teks yang mengandungi seruan agar Orang Asli di sini, supaya menyokong PH pada 2 Mac ini bukan teks beliau.

Tegasnya, teks itu hanya diberi ketika beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan dalam satu program PH yang diadakan di kampung berkenaan petang tadi.

"Bukan saya sebenarnya. Dia tulis (bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA) dan saya ikut (baca)," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya program sembang santai masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Lalang Baru bersama Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Terdahulu, semasa majlis berkenaan berlangsung seorang lelaki yang juga merupakan pengacara dalam program berkenaan dilihat telah memberi teks kepadanya dan meminta agar beliau membacanya.

Aleh dalam ucapannya dalam majlis itu sebelum itu menyatakan Orang Asli akan menyokong calon PH Muhammad Aiman Zainali dan kerajaan.

“Kalau tak sokong nanti susah kami semua. Dulu pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sokong BN, PRU14 sokong PH.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih kami sokong dan undi PH,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50 orang masyarakat orang asli.

Aleh memberi ucapan itu dalam masa hampir enam minit.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas bagaimana perasaan beliau ketika membaca teks ucapan itu, Aleh menegaskan bahawa perasaanya bercampur baur.

"Macam saya sendiri tak cakap, orang lain cerita, saya pun terpaksa membaca teks berkenaan," katanya.

Dalam pada itu ketika mengulas sama ada seruan itu akan mengubah pola pengundian Orang Asli pada 2 Mac ini, Aleh berkata, 'Orang Asli kini semakin bijak menilai'.

"Biru ke Merah kita tidak tahu," katanya.

Selain Muhyiddin, yang turut hadir Ahli Jawatankuasa Tertinggi Amanah Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa pimpinan PH yang lain.