X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 22 Januari 2022

Anwar syor bantuan RM1,500 kepada isi rumah B40

Anwar menyentuh mengenai situasi kewangan rakyat pada sidang media bersama beliau yang berlangsung secara maya pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan kerajaan memberi bantuan bulanan minimum sebanyak RM1,500 kepada setiap isi rumah berpendapatan rendah di negara ini selagi sekatan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Presiden PKR itu berkata, inisiatif tersebut sebagai penyelesaian kepada masalah kewangan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini yang terbukti tidak dapat ditangani menerusi pemberian bantuan 'one-off'.

Katanya, kelompok rakyat berpendapatan rendah yang perlu dibantu sekarang juga boleh digelar sebagai B60 ekoran ramai golongan M40 yang tergelincir ke kelompok B40.

"Untuk tangani masalah ini kerajaan perlu sediakan dana supaya rakyat biasa dapat berbelanja.

"Kita usulkan setiap keluarga B60 ini diberikan bantuan minimim sebanyak RM1,500 sebulan selagi PKP dan sekatan dilakukan," katanya dalam sidang media bersama beliau mengenai laporan Covid-19 dan situasi kewangan rakyat yang berlangsung secara maya, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penyelesaian itu memerlukan penglibatan langsung daripada kerajaan.

"Kita percaya kerajaan mempunyai keupayaan untuk meminjam sebelum ia diagihkan secara langsung kepada rakyat.

"Seperti yang kita tahu 80 peratus (golongan M40) telah masuk ke kategori B60 dan majoriti besarnya adalah golongan bumiputera," katanya.

Anwar menegaskan, dasar kerajaan perlu ke arah menyelamatkan rakyat yang terjejas agar rakyat mampu membeli keperluan asas harian.

"Kita dengar hari-hari sekarang ramai yang hadapi masalah untuk sediakan keperluan asas seperti beras, gula dan susu anak. Ada juga yang dah lama tak makan ikan.

"Jadi sekurang-kurangnya bantuan bulanan RM1,500 itu nanti boleh meredakan sedikit tekanan yang mereka hadapi," katanya lagi.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, bantuan bulanan RM1,500 itu juga perlu disertakan dengan bantuan moratorium dan bantuan lain.

Kata Anwar, sekiranya wang RM1,500 itu diguna rakyat untuk membayar hutang bank dan hutang-hutang lain, ia tidak akan menyelesaikan masalah kewangan sedia ada.

Tambah Anwar, disebabkan itu, kerajaan perlu ada dasar untuk memberi kelonggaran agar mereka tidak perlu membayar sewa, hutang dan pinjaman bank sepanjang tempoh PKP atau sekatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!