Sultan Nazrin perkenan DUN Perak bersidang 25 Ogos ini

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang pada 25 Ogos depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, titah perkenan itu dimaklumkan ketika menghadap baginda bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin pada Selasa.

Menurutnya, persidangan tersebut akan diadakan secara fizikal membabitkan kehadiran semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala ketua-ketua jabatan dan pemerhati akan mengikuti persidangan secara maya.

"Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 ini akan bersidang selama empat hari dan Sultan Nazrin berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

"Saya berharap, sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil-wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutama berkaitan usaha secara kolektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19," katanya kepada pemberita ketika sidang media secara maya di sini pada Rabu.

Saarani
Saarani

Sementara itu, Saarani berkata, memandangkan persidangan dijadual berlangsung dalam fasa Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara, satu mesyuarat akan dijalankan bersama pasukan keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara bagi mendapat nasihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, antara perkara yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut termasuk dari segi ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat duduk ADUN serta SOP lain yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan perjalanan sidang DUN kali ini juga boleh diikuti secara langsung di media sosial termasuk Facebook dan YouTube seperti sebelum ini.