X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Minyak masak: KPDNHEP kerjasama dengan kementerian lain

Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan dalam melaksanakan harga kawalan berasaskan nilai ambang crude palm oil (CPO).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi memastikan harga minyak masak lima kilogram tidak melebihi RM30 sebotol.

"Bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram, KPDNHEP ingin merakamkan terima kasih atas kesudian kerajaan menerima cadangan mekanisme pengurusan harga minyak masak tidak bersubsidi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, KPDNHEP menyambut baik peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dalam pek polibeg satu kilogram terjamin dan dapat dibeli pada harga subsidi RM2.50.

"Kementerian akan meneruskan dasar kawalan dan harga barang keperluan dan meningkatkan penguatkuasaan sedia ada yang ternyata berkesan seperti yang terbukti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa sebarang insiden terputusnya bekalan barang keperluan," katanya.

Beliau berkata, kementerian menyokong sepenuhnya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau Pupuk dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meningkatkan agenda digitalisasi negara.

"KPDNHEP sendiri telah lama menggerakkan program digitalisasi sama ada di peringkat kementerian mahupun dalam sektor perdagangan pengedaran melalui pelbagai aplikasi seperti ez-Aduan, Price Catcher, MySales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, ReDI dan banyak lagi," katanya.

Alexander berkata, kementerian telah memulakan program imunisasi khusus untuk barisan hadapan ekonomi supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila semua yang terlibat telah menjalani imunisasi sepenuhnya.

"Secara keseluruhannya, Pakej Pemulih ini dilihat sebagai seimbang dan bertepatan dengan situasi semasa serta dapat menjamin negara menang dalam memerangi pandemik Covid-19 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!