Selangor cadang bangunkan tapak pertanian di HSKL Selatan

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

BANTING - Kerajaan Selangor merancang bagi membangunkan sebahagian kawasan Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan sebagai lokasi tapak pertanian.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal melaksanakan usaha itu bagi memudahkan proses kawalan dan pemantauan kebakaran di kawasan terlibat.

Loy Sian berkata, kawasan hutan bertanah gambut itu seringkali berdepan ancaman berikutan berlaku kejadian kebakaran pada setiap tahun.

"Kita cadang untuk keluarkan permit penggunaan hutan buat mereka yang berminat menjalankan tanaman pertanian seperti kontan dan sebagainya dengan menggunakan teknologi lebih canggih.

"Dengan ini, petani juga akan dapat membantu memantau sebarang insiden kebakaran di sana dan memberi maklumat kepada pasukan penyelamat dengan lebih cepat," katanya selepas turun pada bagi meninjau lokasi kebakaran berhampiran Jeti Pulau Carey, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, Sabtu lalu, kawasan HSKL Selatan seluas kira-kira 2.83 hektar (tujuh ekar) sekali lagi terbakar dan usaha pemadaman api masih dijalankan sehingga kini oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut beliau, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada tindakan petani haram di kawasan berkenaan yang melakukan pembakaran terbuka.

"Disebabkan kawasan ini agak terpencil, ada pihak ambil kesempatan untuk membuat tanaman di sini. Kita berharap agar api kebakaran di lokasi terlibat akan dapat dipadamkan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: