Galak orang ramai tanam pokok durian sendiri

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

IPOH - Orang ramai digalakkan supaya menanam sendiri pokok durian bagi memperbanyakkan penghasilan buah berkenaan di negara ini, sekali gus mampu menjana pendapatan.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Ir BT Hang Tuah Baharudin berkata, usaha itu sekali gus menjadikan buah durian mampu dinikmati orang ramai berikutan harga yang tinggi di pasaran.

Beliau sehubungan itu berkata, UPM sedia berkongsi kepakaran teknologi baharu penanaman pokok durian dan bekalan aneka anak pokok durian bagi merancakkan usaha berkenaan.

"Harga durian ini bergantung kepada permintaan dan penawaran. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan semua orang boleh menikmati durian ini ialah dengan menggalakkan lebih ramai orang menanam durian.

"Malah, dusun-dusun durian sedia ada juga perlu dibuat pemulihan untuk memperbanyakkan lagi buah berkenaan di pasaran.

"Tetapi ia perlu dilakukan dengan penjagaan yang betul dan bukan secara 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai sahaja. Oleh itu, UPM mempunyai kepakaran dalam teknologi baharu penanaman durian ini boleh membantu pemilik dusun dan orang ramai untuk menanamnya sendiri," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau ditemui selepas melancarkan program Fenomena e-Durian secara dalam talian.

Program berkenaan anjuran Institut Agro Usahawan (IGROW) dengan kerjasama Pusat Hubungan dan Jaringan Industri UPM dan Taman Pertanian Universiti Putra Malaysia (TPU).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sempena program Fenomena e-Durian itu juga, UPM bersama IGROW akan mengadakan beberapa program secara dalam talian iaitu Webinar Asas Teknologi Penanaman Durian, jualan aneka anak pokok durian seperti musang king, IOI dan durian Paduka yang popular di Perak serta beberapa aktiviti lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek berkata, usaha menggalakkan penanaman durian secara meluas mampu dilakukan memandangkan terdapat pelbagai jenis durian yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat.

Menurutnya, peluang itu juga harus diambil secara serius oleh pemilik dusun durian bagi memulihkan tanaman mereka yang sebelum ini terbiar atau ditukarkan ke tanaman lain seperti kelapa sawit.

"Saya fikir tidak menjadi masalah jika taman-taman perumahan juga mengambil inisiatif menanam di kawasan yang sesuai di tempat mereka memandangkan penanaman durian ketika ini tidak memerlukan kawasan begitu luas.

"Kita sudah mempunyai pelbagai teknologi baharu dan kaedah penanaman, jadi ia boleh dilaksanakan untuk menjadikan industri durian mampu mencetuskan fenomena selain membangunkan industri hiliran berasaskan durian," kata beliau.

Jelas Nordin, usaha IGROW bersama UPM itu perlu disambut oleh agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri bagi memastikan industri durian mampu berkembang dengan jayanya.

Mengenai program berkenaan, Nordin berkata, objektif penganjuran bertujuan memupuk minat dan kesedaran masyarakat terutama golongan muda terhadap potensi buah durian sebagai tanaman makanan tempatan serta untuk pasaran eksport.

Bermula 28 Jun sehingga 15 Ogos ini, katanya, program tersebut akan menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya ialah kursus asas teknologi penanaman durian secara dalam talian, pertandingan TikTok suasana musim durian, Sembang Santai Tapi Sampai bertajuk Wawasan Baru Industri Durian dan pelbagai lagi.