Rais, Azhar tiba di Istana Negara

Media berkampung di pintu 2 Istana Negara sejak jam 9 pagi.
Media berkampung di pintu 2 Istana Negara sejak jam 9 pagi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.

Kedua-dua mereka dipercayai memasuki Istana Negara melalui pintu 1 untuk sembah menghadap yang dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi.

Kehadiran mereka bagaimanapun tidak dapat dirakamkan lensa media yang berkampung di pintu 2 Istana Negara sejak jam 9 pagi lagi.

Sementara itu, di pintu 2 Istana Negara, media dimaklumkan turut masuk ke Istana Negara adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Manakala, belum ada sebarang pengesahan mengenai kehadiran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Media sebelum ini melaporkan, pertemuan bersama Al-Sultan Abdullah dengan kedua-dua speaker adalah untuk berbincang mengenai pembukaan Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini.

Ini selepas Rais dan Azhar mencadangkan bahawa persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun minggu pertama September tahun ini.

Mereka juga mencadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula kemudiannya memaklumkan kerajaan belum memutuskan kaedah Parlimen yang akan bersidang secara fizikal atau hibrid.

Beliau berkata, kaedah hibrid ialah pilihan sekiranya Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

Untuk rekod, Pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan agar Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.