Peluang Nur Shazrin sambar pingat

Nur Shazrin bakal membuat penampilan kedua di pentas Olimpik di Tokyo bulan depan.
Nur Shazrin bakal membuat penampilan kedua di pentas Olimpik di Tokyo bulan depan.
A
A
A

ATLET pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif optimis peluang agak terbuka baginya untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan.

Nur Shazrin berpendapat kekurangan pertandingan buatnya dan atlet lain gara-gara Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, antara faktor menyebabkan peluang meraih pingat adalah seimbang kepada semua pelayar bertanding di Jepun nanti.

Namun, atlet berusia 23 tahun itu yang bakal bersaing dalam acara laser radial berkata, dia perlu memantapkan teknik ketika membuat permulaan selain cuba mengelak melakukan banyak kesilapan untuk mencerahkan peluang berada dalam kelompok sepuluh teratas, sekali gus dapat mencabar bagi penentuan pingat.

“Saya perlu lebih agresif di peringkat permulaan perlumbaan dan cuba beri sedaya upaya untuk perbaiki kedudukan di Tokyo berbanding pada Sukan Olimpik Rio 2016.

“Peluang untuk 10 teratas dan dapat pingat agak terbuka, cuma berdasarkan pemerhatian dapat dilihat pelayar Denmark dan Holland antara paling konsisten setakat ini,” katanya pada sidang media dalam talian pada Isnin.

Sementara itu, jurulatih pelayaran negara, Mohd Hafizi Roslee berkata, persiapan pasukannya di Pulau Langkawi ketika ini berjalan lancar kerana beliau sedang menumpukan aspek memperbaiki kesilapan kecil.

Pada masa sama, beliau berkata, pengalaman beraksi di venue Olimpik Tokyo pada 2019 sedikit sebanyak membantu pelayar untuk menyesuaikan keadaan cuaca serta angin di sana selain memaklumkan maklumat dikongsi jurulatih luar merumuskan pergerakan angin sederhana dijangka berlaku ketika temasya sukan terbesar di dunia itu berlangsung.

Jelasnya, keadaan angin sederhana itu membantu pelayar beraksi dengan baik cuma apa membezakan mereka untuk meraih kedudukan terbaik adalah kemahiran dan pengalaman dimiliki seseorang atlet selain menyatakan kem pelayaran sememangnya sudah membuat persiapan rapi berdepan dengan situasi beraksi dalam corak angin berkenaan sejak dua tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengurus skuad negara, Megat Fairuz Khairuddin memberitahu pasukannya merupakan kem Olimpik kebangsaan pertama akan ke Tokyo dan akan memulakan tempoh kuarantin di Pulau Langkawi pada 1 Julai diikuti di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan di sini, pada 5 Julai ini sebelum bertolak ke Jepun pada 8 Julai.

Katanya, perlepasan awal diberikan kepada kem pelayaran negara itu merupakan satu keputusan tepat kerana membantu mereka dari segi mengurus hal berkaitan logisitik selain memberi peluang kepada pelayar untuk merasai mod saingan di Jepun terlebih dahulu.

Selain Nur Shazrin, kem pelayaran negara turut disertai Khairulnizam Mohd Afendy yang akan menyertai acara laser, manakala Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali pula akan bertanding dalam acara 470 pada Sukan Olimpik Tokyo, yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini. - Bernama