Pemulih dengar suara hati rakyat: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) disifatkan sebagai inisiatif yang mendengar suara hati rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pembentangan pakej bernilai RM150 bilion itu jelas menunjukkan tiada pihak yang terpinggir dan tertinggal termasuklah golongan B40, M40 serta T20.

Menurutnya, antara perkara yang menggembirakan rakyat ialah pelaksanaan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada semua individu tanpa syarat.

“Bantuan ini membolehkan rakyat merancang semula kewangan keluarga tanpa perlu bimbang dikejar pihak bank,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan turut memberi bantuan kewangan secara terus melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid (BKC) yang baru diperkenalkan serta Bantuan Kehilangan Pendapatan.

“Semua pakej ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan masalah rakyat dan sebagai perangsang untuk ekonomi berkembang semula.

“Tiada lagi pihak yang tertinggal atau merasakan diri mereka tersisih kerana semua peringkat rakyat telah disantuni melalui pakej perlindungan kali ini,” ujarnya.

Beliau berharap pelan pemulihan negara sebelum ini dapat bergerak seiring dengan pakej rangsangan yang baru diumumkan agar dapat memberi impak kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Adnan berkata, rakyat perlu beri kerjasama dalam menjayakan program vaksinasi kerana ia adalah langkah terakhir untuk negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

“Kejayaan program ini sudah tentu menjadi pemangkin pada kejayaan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik.

“Jika kita terus bergelut dengan pandemik ini dalam jangka panjang, pasti segala usaha dan pakej bantuan yang diberikan kerajaan selama ini hanya seperti mencurah air ke daun keladi,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin umum Pemulih bernilai RM150 bilion

[LIVE] Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)

[LIVE] Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Posted by Sinar Harian on Monday, June 28, 2021