X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Peruntukan RM300,000 Bantuan Bakul Makanan kepada ahli Parlimen

Muhyiddin pada pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pihaknya sedar bahawa barangan keperluan asas penting kepada golongan yang memerlukan.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.

“Baik ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menggesa agar peruntukan yang diberikan itu digunakan sebaik mungkin bagi membantu rakyat yang memerlukan di kawasan Parlimen masing-masing.

“Selain itu, RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat orang asli,” katanya.

Tegas Muhyiddin, kerajaan juga akan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu.

“Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang ‘Crude Palm Oil’ bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 hingga 5 kilogram (kg).

“Melalui program ini sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kg dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

“Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kg terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kg pada harga bersubsidi RM2.50,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!