Pengarah letak jawatan: Saham Serba Dinamik susut 16 peratus

Saham Serba Dinamik Holdings Bhd susut 16 peratus susulan empat pengarah bebas bukan eksekutif meletakkan jawatan pada Jumaat lepas.
Saham Serba Dinamik Holdings Bhd susut 16 peratus susulan empat pengarah bebas bukan eksekutif meletakkan jawatan pada Jumaat lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd susut 16 peratus susulan empat pengarah bebas bukan eksekutif meletakkan jawatan pada Jumaat lepas berikutan perbezaan pandangan mengenai langkah syarikat mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas juruaudit luarnya, KPMG PLT.

Pada jam 10.50 pagi, saham itu turun 6.5 sen kepada 34.5 sen dengan 373 juta saham diniagakan.

Menurut Serba Dinamik, empat pengarah itu ialah Hasman Yusri Yusoff, Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi dan Rozilawati Basir.

Pada 22 Jun, penyedia perkhidmatan minyak dan gas tersebut mengumumkan tuntutan sivil bagi kerugian yang dialaminya telah difailkan ke atas KPMG berikutan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Dua hari kemudian, KPMG pula mengemukakan notis peletakan jawatan sebagai juruaudit Serba Dinamik berkuatkuasa serta-merta dengan menjelaskan tuntutan itu telah menjejaskan kemampuannya untuk meneruskan tugas audit secara bebas dan melaksanakan tanggungjawab profesional.

Pertikaian pengauditan tersebut timbul daripada tindakan KPMG untuk mengetengahkan percanggahan melibatkan transaksi berjumlah RM4.54 bilion pada Mei tahun ini.

Pada Jumaat, Serba Dinamik mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM113.32 juta dan perolehan RM1.38 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2021 disumbangkan terutama oleh segmen operasi dan penyelenggaraan serta segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentaulihan.

Sebelum itu, syarikat berkenaan juga mengumumkan tarikh akhir tahun kewangan telah diubah daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

Artikel Berkaitan:

Justeru, tiada maklumat kewangan bagi perbandingan yang tersedia bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021. - Bernama