Tekanan kewangan boleh jejas kesihatan mental

Statistik semasa menunjukkan ramai rakyat berdepan tekanan kewangan hingga menjejaskan kesihatan mental. Gambar kecil Mohamad Fazli
Statistik semasa menunjukkan ramai rakyat berdepan tekanan kewangan hingga menjejaskan kesihatan mental. Gambar kecil Mohamad Fazli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian moratorium dan i-Sinar yang bakal diumumkan kerajaan dalam masa terdekat dijangka dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi rakyat sekarang.

Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, berdasarkan statistik semasa menunjukkan ramai rakyat berdepan tekanan kewangan hingga menjejaskan kesihatan mental.

Beliau berkata, gangguan mental itu juga menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila data merekodkan peningkatan jumlah kes bunuh diri ketika ini.

“Jadi amat wajar moratorium pinjaman dan kemudahan i-Sinar diberikan semula kepada rakyat terutama bagi golongan yang teruk terjejas.

“Menerusi bantuan moratorium dan i-Sinar itu mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.

Media pada Sabtu melaporkan kerajaan bakal mengumumkan mengenai pemberian moratorium dan i-Sinar dalam waktu terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan bakal umum pemberian moratorium, i-Sinar

Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia memberitahu, golongan terjejas teruk itu termasuklah pekerja yang tidak dapat bekerja atau hilang kerja dan peniaga kecil yang tidak boleh berniaga.

Artikel Berkaitan:

“Dalam keadaan sekarang penjawat awam yang mendapat gaji bulanan seperti biasa mungkin tidak berdepan cabaran sukar seperti mereka yang tidak dapat bekerja atau berniaga.

“Kalau moratorium diberikan secara automatik, ia sesuatu yang amat bagus kerana wang bayaran itu boleh menampung untuk perbelanjaan penting lain.

“Mengenai i-Sinar pula, walaupun memang betul wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya disimpan untuk persaraan tetapi dalam fasa-fasa kritikal sekarang, ia akan sangat membantu mereka yang tersepit,” katanya.

Mohamad Fazli menambah, kemudahan moratorium dan i-Sinar itu wajar diberikan mengikut tempoh masa yang selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, sekiranya rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), negara mencapai imuniti berkelompok dan PPN berjalan seperti yang dirancang maka sebelum akhir tahun ini, lebih ramai rakyat boleh bekerja semula.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)