‘Terus bertahan, kita pasti boleh’

No Image Caption
A
A
A

PEJAM celik pejam celik sudah 28 hari kita ‘terkurung’ dek kerana Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

Jika dihitung kembali sejak kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020, diikuti PKP Bersyarat, kemudian PKP Pemulihan, sebelum kerajaan melaksanakan semula PKP 2.0 pada 13 Januari 2021 hingga 4 Mac 2021 dan PKP 3.0 bermula 7 Mei lalu, sudah 464 hari kita ‘berkurung’ di rumah.

Impak yang cukup besar semasa PKP adalah daripada sudut ekonomi apabila ramai hilang pekerjaan akibat diberhentikan atau diberikan cuti tanpa gaji susulan majikan terpaksa menangguh sementara operasi.

Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hampir 100,000 orang hilang pekerjaan pada tahun lalu.

Walaupun dalam keadaan yang sukar, kehidupan perlu diteruskan. Di sini lah kita dapat melihat kecekalan rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

Golongan yang terjejas mula mencari alternatif dengan beralih arah bagi menjana pendapatan.

Kisah seorang juruterbang berpengalaman yang pernah berkhidmat di Oman Air, tetapi diberhentikan kerja disebabkan pandemik Covid-19, lalu dia mengambil keputusan bertukar kerjaya menjadi peniaga burger jalanan.

Kata Naeem Nassir, dia tidak boleh hanya berpeluk tubuh selepas hilang pekerjaan dan kerana itu dia tidak membuang masa apabila membuka perniagaan Smashed Burger bersama isterinya.

Artikel Berkaitan:

Bukan hanya Naeem Nassir, ramai lagi yang mencuba nasib menjadi peniaga kecil-kecilan selepas hilang pekerjaan atau ‘dicutikan’ ketika PKP.

Malah ada yang seronok dengan kerjaya baharu mereka ini kerana dikatakan lebih ‘masyuk’ berbanding ketika makan gaji dahulu.

Tidak kurang juga ramai yang memilih kerjaya sebagai ‘runner’ di syarikat perkhidmatan penghantaran.

Semua itu memperlihatkan rakyat Malaysia ini bukanlah memilih pekerjaan sebaliknya mereka berusaha mendapatkan mata pencarian demi kelangsungan hidup di saat negara dilanda pandemik.

PKP turut memberi impak yang besar kepada golongan peniaga apabila perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Oleh kerana pelanggan tidak dapat ke premis, maka peniaga perlu mempelbagaikan kaedah pemasaran atau penjualan produk mereka.

Maka ramai yang telah beralih kepada platform e-dagang atau paling tidak mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.

Seperti seorang pekebun durian dari Pontian, Johor, Abdul Hadi Ahmad Sani, 41, berkata, kehadiran musim durian ketika Sekatan Pergerakan Penuh tidak menghalang peniaga sepertinya memasarkan durian secara dalam talian melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Katanya, berdasarkan pengalaman musim durian ketika PKP pada tahun lalu, dia mendapati cara pemasaran durian perlu diubah bagi mengelakkan lambakan durian.

Jelas PKP telah menjadikan peniaga lebih kreatif untuk kelangsungan bisnes mereka.

Bak kata rakan penulis, apa sahaja yang boleh dijual ketika ini mereka akan lakukan walaupun bukan dalam bidang perniagaan yang dijalankan sebelum ini.

Sistem pendidikan negara juga tidak terkecuali daripada kesan pandemik Covid-19 yang menyaksikan pelajar secara langsung menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian.

Ketika awal pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ramai yang merungut kerana terdapat kekangan dari segi akses kepada internet dan penggunaan peranti untuk pembelajaran.

Ada pelajar terpaksa panjat bukit, duduk di tepi sungai atau keluar berbatu jauhnya untuk mencari capaian internet bagi mengikuti kelas.

Ibu bapa pula mula tertekan kerana perlu memastikan anak-anak mereka tidak tercicir sedangkan mereka juga perlu bekerja.

Namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, selepas beberapa ketika, ramai yang sudah boleh menyerap tekanan itu.

Walaupun seribu satu cabaran perlu ditempuhi dalam tempoh sukar ini, masyarakat nampaknya berjaya mengadaptasi kehidupan normal baharu.

Rakyat harus kekal positif agar kita mampu mengurus kehidupan dengan baik sepanjang PKP ini.

* Penulis ialah Web Editor portal Sinar Harian