Ubah suai kereta mewah, sorok dadah RM6.4 juta

Mior Faridalathrash (tengah) bersama Hasron Nazri (kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas daripada dua suspek di Gopeng.
Mior Faridalathrash (tengah) bersama Hasron Nazri (kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas daripada dua suspek di Gopeng.
A
A
A

IPOH - Taktik dua lelaki menyembunyikan dadah bernilai lebih RM6.4 juta dengan menyimpannya dalam but kereta mewah jenis Bentley yang diubahsuai terbongkar selepas gagal melepasi sekatan jalan raya (SJR) Covid-19 di Plaza Tol Gopeng di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menahan kenderaan dinaiki suspek berusia 41 dan 47 tahun itu setelah melihat mereka dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 7.30 petang.

Suspek dalam perjalanan dari Johor menuju ke utara itu terpaksa melalui susur keluar plaza tol berkenaan untuk mencari mekanik sebelum ditahan anggota yang bertugas.

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan menemui 123 bungkusan teh mengandungi 128.78 kilogram dadah jenis methamphetamine.

"Mereka menyimpan 117 bungkusan di ruang but yang diubahsuai manakala enam bungkusan lagi di ruang penyimpanan tayar tambahan.

"Secara kasarnya ia tidak kelihatan sehingga anggota melakukan pemeriksaan teliti pada kenderaan terbabit dan didapati dadah berkenaan disimpan dalam petak khas di ruangan itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.

Menurutnya, suspek turut bertindak nekad merentas negeri menggunakan alasan urusan perniagaan dengan mengemukakan borang kebenaran yang sudah tamat tempoh.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya bekalan dadah berkenaan bukanlah untuk pasaran di Perak sebaliknya untuk negeri-negeri di utara.

"Mereka ditahan dan kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut. Turut dirampas sejumlah wang tunai bernilai RM3,390," katanya.

Tambah Mior Faridalathrash, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.