Zuraida legakan peniaga kecil

Wawancara Sinar Ahad bersama Zuraida baru-baru ini.
Wawancara Sinar Ahad bersama Zuraida baru-baru ini.
A
A
A

[WAWANCARA] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh dikatakan sebagai kumpulan barisan hadapan dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Selain perumahan rakyat, di bawahnya bernaung pasukan bomba yang terlibat secara langsung dalam program sanitasi. Nasib kira-kira 500,000 penjaja dan peniaga kecil pula sebahagiannya terletak di tangan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Dalam Wawancara Bersama Sinar Ahad minggu ini, Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap mengenai usaha untuk membantu peniaga kecil yang teruk terjejas akibat wabak, isu harga rumah yang terlalu mahal, dan tidak ketinggalan menjawab tohmahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sebuah kerajaan yang gagal.

Wawancara itu dikendalikan oleh Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Zamri Rambli; Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan Wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain serta Nur Iftitah Rozlan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimana YB melihat peranan KPKT dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara seperti dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini yang menyasarkan pembukaan penuh semua sektor pada penghujung tahun ini?

ZURAIDA: Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri mempunyai nilai ambang iaitu untuk mencapai 10 peratus penerima vaksin pada fasa pertama, 40 peratus sampai ke Ogos, dan 60 peratus sampai ke Oktober.

KPKT banyak terlibat dengan orang awam peringkat akar umbi, daripada isu perumahan, kerajaan tempatan, isu sampah dan bomba. KPKT boleh memanfaatkan jabatan-jabatan ini untuk normalisasikan rakyat supaya segera menyambut kempen vaksin ini.

KPKT turut mengambil inisiatif menggerakkan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAC) dengan menggariskan empat komponen. Yang pertama ialah unit panggilan iaitu sukarelawan dengan kerjasama Penggerak Komuniti Negara (PKN).

Artikel Berkaitan:

Contohnya, berdasarkan tinjauan saya, seramai 10,000 orang di Kedah dan Kelantan ketika itu mencatatkan lebih kurang 30 peratus ketidakhadiran. Jadi ada keperluan untuk kita gunakan unit panggilan. Sukarelawan ini akan menghubungi nombor-nombor yang sudah dapat temu janji tetapi masih belum memberi keputusan untuk hadir.

Yang keduanya, mereka yang perlu menerima dos kedua tetapi tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ketiga, yang sudah mendapat temu janji tetapi tidak hadir. Jadi kami akan cuba hubungi mereka. Bila kita buat begini di PPV Ampang Indah, hampir 98 peratus berjaya dihubungi dan peningkatan kehadiran naik hingga 30 peratus.

Komponen kedua ialah unit mobilisasi di mana pasukan ini akan membantu mengambil mereka yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV seperti tidak mempunyai kenderaan, rumah yang jauh dan sebagainya.

Komponen ketiga ialah pasukan ‘reach out’ atau jangkauan kepada komuniti. Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab terhadap perumahan strata yang mempunyai data persatuan-persatuan penduduk. Melalui ini juga, mereka akan membuat panggilan kepada penduduk. Kita akan turun padang ke rumah strata, rumah flat dan sebagainya untuk melihat data penduduk dan mengenal pasti individu yang sudah mendaftar atau belum. Yang keempat adalah ‘mobile unit’ iaitu klinik bergerak di mana kita mempunyai 12 bas.

Datuk ada menyebut tentang sukarelawan, setakat ini adakah jumlah sukarelawan itu memadai untuk menjayakan program vaksinasi ini?

Insya-ALLAH, Penggerak Komuniti Negara ada seramai 300,000 anggota di seluruh negara mengikut daerah Parlimen. Mereka telah terlatih dari segi kerja-kerja kebajikan dan lapangan. Ia sama seperti menjalankan kempen pilihan raya di mana mereka perlu turun padang untuk jumpa orang. Kita menggunakan kaedah yang sama, cuma ini adalah kempen vaksin Covid-19.

Zuraida
Zuraida

Bagaimana pula PBT dapat membantu kerajaan untuk mainkan peranan?

Kita hendak membantu golongan peniaga-peniaga kecil di pasar malam dan pasar tani yang ketika ini masih lagi dalam kawalan di mana mereka tidak boleh berniaga. Jadi, program akan datang yang telah diatur Insya-ALLAH Julai nanti adalah untuk memberi vaksin kepada peniaga-peniaga kecil di PBT seluruh negara.

Kita ada 155 PBT, dan ada 500,000 peniaga kecil. Untuk program ini, kita akan fokus kepada peniaga-peniaga kecil. Kerana kalau kita tunggu sampai Oktober, empat bulan mereka tiada pendapatan. Jadi kita kena bantu mereka terima vaksin supaya mereka boleh berniaga.

Kita akan tumpukan di negeri Selangor kerana angka di sini masih lagi lagi dan aktiviti di Selangor dari segi mobilisasi agak lemah. Jadi pasukan MOVAC telah ditugaskan untuk fokus di negeri Selangor dahulu.

Dari segi bantuan di peringkat KPKT, bermula Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) 1.0 pada Mac 2020, memang sudah diberi insentif seperti insentif lesen, sewa, dan sebagainya. Saya rasa kali ini lebih efektif kalau kita mempercepat pemberian vaksin. Jadi cepat mereka boleh bergerak dan menjalankan perniagaan.

Baru-baru ini program sanitasi Covid-19 di bangunan dan tempat awam oleh pihak bomba mendapat sedikit kecaman. Apa komen YB?

Bomba buat kerja sanitasi bukan secara membabi buta. Mereka ikut prosedur operasi standard (SOP) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bahan kimia yang disarankan juga adalah mengikut SOP perubatan.

Ini adalah program sanitasi, maknanya segala jenis kuman akan disanitasi. Jadi kepada orang yang komen lebih, turun padang dengan kita. Sanitasi ini adalah satu langkah menyahkuman yang dapat membunuh semua jenis kuman yang ada.

Saya juga berpegang kepada usaha ini. ALLAH SWT juga menyuruh kita berusaha. Menyahkuman juga akan menjadi norma baharu di mana rakyat perlu diajar untuk sentiasa sanitasi dan jaga kebersihan. Setakat ni, kita sudah laksanakan 25,000 program sanitasi melibatkan 300,000 ke 500,000 bangunan. Jadi kenapa jadi isu? Jangan pertikaikan usaha orang.

Kita akan teruskan. Ada juga permintaan daripada sekolah, pasar dan kediaman tertentu yang meminta kita turun untuk sanitasi. Kita kena faham, ini adalah aktiviti menyahkuman. Jadi tidak kira apa jenis kuman akan disanitasi.

Saya tidak mempunyai butiran kos yang tepat, tapi dari Mac 2020 dulu kita menerima sumbangan bahan kimia sebanyak 1,000 liter, dan sehingga sekarang belum habis lagi.

Bercakap mengenai perumahan, dalam tempoh setahun lebih ini, bagaimana kesan pandemik terhadap harga dan pasaran rumah?

Dari segi pasaran, rumah-rumah yang dibina KPKT kita memang beri moratorium. Kita kecualikan sewa sampai sekarang dan masih lagi dipanjangkan. Dari segi harga rumah, ia tetap sama. Kempen Home Ownership pula memang diteruskan sehingga hujung tahun ini.

Kempen ini membantu untuk meneruskan jualan rumah. Di peringkat KPKT, kita ada PR1MA, SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) dan sebagainya. Jualan PR1MA juga sangat bagus berbanding sebelum Covid-19.

Dari segi harga rumah, tiada beza. Dalam kempen Home Ownership, diskaun adalah kurang daripada 10 peratus. Ada yang sampai 20 ke 30 peratus. Tetapi projek-projek baru tidak dapat diteruskan disebabkan Covid-19. Dari segi industri perumahan, ia tidak terlalu terjejas kerana kebiasaannya mereka yang hendak membeli rumah sudah pun mempunyai wang simpanan.

Dari segi pembelian rumah, antara isu yang pernah berbangkit ialah banyak rumah yang tidak terjual. Apakah situasinya?

Sebelum Covid-19, memang masalah itu sudah timbul. Sebab itu kita adakan kempen Home Ownership. Sekarang pemaju sudah tidak membina rumah berharga RM500,000 ke atas.

Selepas 2018, pemaju sudah mula buat rumah RM500,000 ke bawah kerana mereka faham keperluan untuk membina rumah RM500,000 ke bawah dan bukan sebaliknya. Ketika itu mungkin ekonomi sangat bagus, jadi mereka buat rumah mahal-mahal mencecah RM1 juta. Jadi ada perubahan dari segi sasaran pemaju untuk membina rumah yang lebih murah.

Kita faham semenjak saya jadi Menteri Perumahan, bukan rakyat tidak mampu, isu utamanya adalah untuk mendapatkan pinjaman bank kerana kebanyakan golongan yang membeli rumah berharga RM300,000 ke bawah adalah dalam kalangan peniaga kecil. Mereka tidak mempunyai dokumen untuk menyokong permohonan pinjaman. Oleh itu bank tidak luluskan. KPKT menganggapnya satu kerugian.

Saya lihat peniaga kecil ini ada duit sebenarnya. Tapi kerana bank tidak meluluskan permohonan mereka untuk membeli aset, jadi duit itu tidak dapat dimanfaatkan untuk mereka menjadi pemilik aset. Mereka belanjakan duit ke atas perkara yang tidak perlu seperti tukar telefon bimbit dan kereta baharu.

Saya sentiasa minta Bank Negara tolong golongan ini dalam urusan pembelian rumah. Kita juga buat skim Rent-to-Own (RTO) yang membolehkan mereka membayar sewa mengikut kadar tertentu dan selepas lima tahun, mereka diberi pilihan untuk membeli rumah tersebut. Namun, KPKT masih lagi memikirkan cara terbaik membantu terutamanya B40 dan M40 untuk membeli rumah.

Wawancara Sinar Ahad bersama Zuraida baru-baru ini.
Wawancara Sinar Ahad bersama Zuraida baru-baru ini.

Baru-baru ini ada usaha untuk menggerakkan kempen #KerajaanGagal. Pada pandangan Datuk, betulkah kerajaan sekarang gagal?

Kita hendak tanya, apa yang kita (kerajaan) gagal? Apa yang kita gagal dan apa yang pembangkang berjaya? Cuba cakap dengan saya, kalau kerajaan Perikatan Nasional gagal, apa yang pembangkang berjaya?

Adakah mereka berjaya untuk mencapai objektif, katakan bantu negeri pembangkang, Selangor capai angka kosong kes Covid-19 pada Julai? Pulau Pinang, Negeri Sembilan, contohnya katalah mereka buat sasaran bahawa mereka boleh buat vaksinasi ini lebih banyak daripada kerajaan Pusat. Jadi, ini semua cakap-cakap politik yang tidak disokong dengan usaha konkrit dan fakta-fakta.

Sejak hari pertama Datuk di KPKT, soalan pertama yang ditanyakan ialah bagaimana dengan kes Adib. Adakah kes ini dapat diselesaikan ataupun ia sebenarnya terlalu rumit untuk dirungkai?

Memang kita sudah berusaha ketika itu. Saya berjaya membawa kes Adib ke peringkat inkues, kalau tidak kes itu sudah ditutup sebagai satu kemalangan.

Oleh sebab saya tidak puas hati dengan penjelasan itu, saya pengerusikan satu mesyuarat selepas insiden Adib meninggal dunia pada tahun 2019, yang dihadiri pihak polis, forensik perubatan, bomba dan sebagainya.

Di situ saya kata selagi kita tidak nampak bukti bahawa siapa yang pukul, siapa yang sebabkan kematian dan sebagainya, selagi itu saya tidak boleh benarkan kes ini ditutup sebagai kemalangan. Jadi sebab itu dibuat inkues.

Dalam prosedur inkues, koroner putuskan ini memang disebabkan kesalahan jenayah, jadi kes diserahkan kepada polis untuk buat siasatan semula. Ketika itu, kerajaan PH tidak boleh cari siapa kerana tiada bukti, tiada video, tiada apa yang hendak menunjukkan Adib ada yang pukul atau ada orang aniaya dia untuk kita dakwa, dan kes itu terbiar.

Jadi, waktu kerajaan PN, kita bangkit lagi sekali, saya katakan bahawa kita buka lagi kertas siasatan, jadi mereka dah buat siasatan sama lagi, tetapi mereka tidak temui sebab atau orang yang bertanggungjawab atas kematian Adib itu.

Jadi keputusannya adalah kita akan cuba berbincang dengan keluarga Adib dan kerajaan akan melihat satu pampasan untuk keluarga Adib. Pada masa yang sama memberi jaminan sekiranya ada bukti baru kes ini akan dibuka balik untuk diteruskan perbicaraannya.

Memang kita dari masa ke masa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jumpa keluarga Adib. Tetapi cadangan yang saya sebut tadi (pampasan untuk keluarga Adib), kerajaan belum berjumpa keluarga Adib secara rasmi.

Pelantikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Pengerusi PR1MA oleh KPKT baru-baru ini telah dikritik kononnya kerajaan PN memberi terlalu banyak habuan politik kepada ahli Parlimen dalam GLC. Apa pendapat Datuk?

Polisi kerajaan PN di bawah Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah memberi peluang kepada ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan menteri untuk memimpin GLC.

Jadi mereka ini adalah sebahagian daripada kerajaan. Mungkin bagus untuk mereka berada di situ agar mereka faham tentang isu-isu dan permasalahan di situ.

Jadi untuk Shahidan Kassim ini, beliau yang memulakan PR1MA semasa di bawah Pejabat Perdana Menteri yang dulu. Yang ini pun dia minta untuk ditugaskan di PR1MA, kemudian kita berikan ruang tapi ada pendekatan baharulah kerana masanya sudah tiba untuk kita buat satu anjakan yang berbeza dari segi model perniagaan dan pengurusan.

Saya juga lantik Shahidan sebagai Pengerusi Perbadanan Perumahan Nasional (NHC) kerana kita mahu mengangkat satu badan yang mana kita hendak buat satu entiti tunggal yang menjaga tentang perumahan. Jadi ini dalam peringkat kajian untuk menggubal undang-undang dan sebagainya.

Zuraida
Zuraida


ANEKDOT


Cabaran tiga tahun jadi menteri

Inilah kali pertama saya menjadi sebahagian daripada kerajaan (menteri). Saya dahulu 20 tahun Reformasi (PKR). Sewaktu kita dulu sebagai pembangkang, kita hanya tahu separuh daripada cerita dan melihat sesuatu isu daripada perspektif rakyat.

Bila kita masuk kerajaan, kita faham pula perspektif daripada kerajaan. Jadi bila kita buat keputusan, kita kena ambil kedua-dua pandangan ini dan mencari satu keputusan yang adil untuk semua rakyat.

Jadi kalau dulu kita selalu perjuangkan rakyat, di sini pula ada yang sektor perniagaan, korporat dan ini kita kena pertimbangkan juga pandangan mereka sebelum buat satu keputusan yang lebih jelas. Menteri bertanggungjawab kepada negara dan semua rakyat, bukan satu sektor sahaja. Perkara ini harus difahami semua.

Kalau tanya apa yang saya rasa susah sekarang ialah birokrasi. Saya memang bukan orang birokrasi. Saya seorang yang mudah, saya buat keputusan cepat, saya buat kerja cepat. Birokrasi ini memang sedikit menyulitkan. Tetapi alhamdulillah di peringkat kementerian saya, mereka faham dan mereka menerimanya juga sebagai satu perubahan.

Perspektif wanita untuk pembangunan negara

Sebagai seorang pemimpin wanita, saya masih lagi memperjuangkan agenda wanita. Di peringkat KPKT sendiri, saya boleh menetapkan polisi yang dapat mengangkat martabat wanita. Saya menggunakan kuasa saya sebagai menteri. Contohnya, pelantikan Ahli Majlis (PBT), saya tetapkan sebanyak 30 peratus, kontraktor-kontraktor mesti ada wanita 10 peratus sekurang-kurangnya.

Sebab itu saya selalu perjuangkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam Parlimen kerana pemikiran, perspektif wanita itu berbeza dengan lelaki. Wanita bukan hendak cakap pasal wanita sahaja. Tapi proses pemikiran wanita ini lain.

Contohnya saya Menteri KPKT, saya lihat kepada infrastruktur. Kalau saya orang perempuan, saya tahulah saya pergi tandas orang perempuan. Orang lelaki tidak pergi tandas perempuan. Tapi saya lihat orang perempuan sekarang sudah ramai bekerja. Tandas orang lelaki dan wanita sama banyak tetapi barisan menunggu lebih ramai dekat tandas perempuan. Jadi, kalau orang perempuan tidak tengok, perkara ini tidak akan berlaku perubahan. Sebagai menteri, saya ada kuasa untuk menetapkan polisi pembinaan.

Perspektif wanita itu penting untuk dibawa sekali dalam pembangunan negara. Jadi mesti ada lebih suara wanita untuk mewakili orang wanita dari segi perspektif pemikiran, bukan dari segi tentang isu wanita semata-mata.

Sudah 13 tahun jadi Ahli Parlimen Ampang

Saya pulangkan kepada pimpinan parti kawasan Parlimen mana saya hendak bertanding pada PRU15. Tetapi saya bersedia bertanding di Ampang untuk mengekalkan kerusi Parlimen Ampang. Saya rasa saya tidak ada masalah atau isu untuk bertanding di situ (Ampang) lagi.

Alhamdulillah ini adalah tahun ke-13 saya di Ampang. Orang di situ sangat biasa dengan saya. Struktur sokongan saya juga kuat dari segi khidmat kepada rakyat. Ketika ini saya lihat secara puratanya rakyat Ampang berasa berpuas hati dengan apa yang telah kami berkhidmat kepada mereka. Jadi kita teruskan. Pejabat Parlimen Ampang saya buat kerja sepanjang tahun tanpa henti.