'Kami sewa tanah, bukan anugerah kerajaan'

Isu tersebut juga dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini antaranya Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang turut turun padang meninjau kawasan berkenaan.
Gambar kecil: Ahmad Adenan
Isu tersebut juga dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini antaranya Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang turut turun padang meninjau kawasan berkenaan. Gambar kecil: Ahmad Adenan
A
A
A

IPOH - Syarikat Makmur Cemerlang Sdn Bhd yang dikaitkan dengan pemberian tanah seluas 18.8 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar tampil memberi penjelasan bahawa tanah tersebut sebenarnya disewa.

Pengarah syarikat terbabit, Ahmad Adenan Said berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri menganugerahkan tanah tersebut adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali.

Menurutnya, tanah tersebut dimohon untuk dibangunkan bagi tujuan ternakan akuakultur mengikut prosedur ditetapkan dengan dokumen lengkap keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek yang dirancang.

"Syarikat kami dituduh kononnya dianugerahkan tanah itu sedangkan kami sewa tanah ini dengan PPPNP untuk dibangunkan. Kami seperti syarikat lain yang mengemukakan permohonan sebelum diberikan kelulusan.

"Tanah-tanah milik syarikat berkaitan kerajaan ini sesiapa pun boleh mohon untuk sewa. Syarikat kami ada kemampuan untuk mengusahakan tanah tersebut dan mampu membayar sewanya," katanya yang juga Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Abdul Yunus Jamahri kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Adenan turut kesal dengan tindakan seorang ADUN yang membuat hantaran di Facebook menuduh syarikat tersebut diberikan anugerah tanah berkenaan.

Menurutnya, disebabkan itu pihak syarikat telah memulakan proses undang-undang terhadap wakil rakyat itu kerana menjejaskan reputasi dan tanggapan awam terhadap Makmur Cemerlang Sdn Bhd.

Jelasnya, notis tuntutan dihantar bagi meminta ADUN terbabit memadam hantaran di Facebook tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka selain menuntut sejumlah ganti rugi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang berkongsi hantaran Facebook berkenaan.

Mengenai laporan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu terbabit, Ahmad Adenan sedia memberi kerjasama jika dipanggil oleh agensi berkenaan.

Isu tersebut juga dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini antaranya Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang turut turun padang meninjau kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN AMK lapor SPRM Exco Perak salah guna kuasa