Ribuan berduka atas kematian aktivis Palestin

Ribuan menghadiri pengebumian Banat (gambar kecil) di Hebron pada Jumaat. - Foto AFP/ Agensi
Ribuan menghadiri pengebumian Banat (gambar kecil) di Hebron pada Jumaat. - Foto AFP/ Agensi
A
A
A

RAMALLAH - Ribuan penduduk Palestin menghadiri pengebumian aktivis hak asasi manusia, Nizar Banat pada Jumaat sehari selepas beliau dilaporkan meninggal dunia ketika berada di dalam tahanan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kematian Banat, 43, yang dikenali di media sosial kerana lantang bersuara tentang isu rasuah dalam kalangan pemimpin PA turut mencetuskan kemarahan penduduk Palestin di Tebing Barat.

"Kami mahu lihat kejatuhan PA," laung orang ramai yang berkumpul di bandar Hebron yang turut menjadi lokasi pengebumian Banat.

Sementara itu, Gabenor Hebron, Jibrin al-Bakri memaklumkan Banat ditahan pada pagi Khamis sebelum keadaan kesihatannya menjadi bertambah teruk.

Keluarganya mendakwa pihak berkuasa menggunakan semburan lada dan turut menggunakan kekasaran melampau ketika menahan Banat.

Laporan doktor yang melakukan autopsi ke atas mangsa juga seakan-akan mengiyakan dakwaan keluarganya apabila mendapati Banat telah dipukul pada bahagian kepala, dada, leher dan tangan.

"Kematiannya berlaku dalam tempoh kurang sejam selepas penahanannya," ujar Dr Samir Abu Zarzour.

Susulan kemarahan yang semakin meningkat, Perdana Menteri, Mohammad Shtayyed mengesahkan siasatan telah dilancarkan ke atas kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Banat pernah mendaftarkan dirinya sebagai calon Pilihan Raya Parlimen yang dijadualkan pada bulan lalu sebelum Presiden Mahmoud Abbas menangguhkannya. - AFP