Peti besi kekal misteri...

bomba
bomba
A
A
A

KLANG – Siapa sangka, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja di Jalan Gedung Raja Abdullah menyimpan pelbagai khazanah lama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sejak 1890.

Galeri yang mempamerkan lebih 50 barangan antik ini menjadi antara tarikan pelancong apabila berkunjung di Bandar Diraja ini.

Pertama kali menjejak kaki ke sini, penulis kagum melihat peralatan lama yang digunakan anggota bomba suatu ketika dahulu yang kini tidak dapat ditemui di balai bomba dan penyelamat di negara ini.

Paling menarik perhatian peti besi di ruang utama galeri yang sehingga kini masih belum dibuka dan tidak diketahui isi kandungannya.

Menurut Ketua Operasi BBP Kota Raja, Pegawai Bomba Kanan 1, Zul Alim Mahful, peti besi dari zaman British itu menjadi daya tarikan utama pelancong galeri berkenaan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Katanya, peti besi yang dipercayai menyimpan segala rekod dan dokumen bomba pada 1810 itu, berada dalam bangunan terbabit sejak balai bomba itu dibina pada awal 1980-an.

“Bermula dengan sebuah peti besi usang yang wujud sebelum merdeka, Galeri BBP Kota Raja ini kini mempunyai lebih 50 barangan antik yang pernah digunakan oleh anggota.

“Kalau ikutkan fizikalnya, tiada apa yang istimewa pada peti besi ini, namun setiap kali pengunjung datang ke galeri, mereka pasti mengambil masa lama untuk melihat keadaannya.

Artikel Berkaitan:

“Malah sehingga ke hari ini pun, kami tidak tahu apa yang terkandung dalam peti besi itu dan biarlah ia kekal menjadi misteri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jadi tumpuan pelancong

Zul Alim yang juga pengasas galeri berkenaan berkata, ramai pelancong mengunjungi galeri itu sejak dibuka termasuk sebagai sumber rujukan.

“Sehingga kini, lebih 30,000 pengunjung yang kebanyakannya dari luar negara. Ada juga pelajar PT3 dan SPM buat kajian sejarah selain menjadi rujukan bagi agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Katanya, bukan mudah membina galeri berkenaan kerana kesukaran mendapatkan barangan antik kerana perlu meminta kerjasama balai bomba dan keluarga pesara selain dana yang besar.

Pamer pelbagai barangan lama

Selain peti besi, bangunan yang menempatkan BBP Kota Raja itu mempunyai sejarah tersendiri.

Menceritakan sejarah itu, menurut Zul Alim, pada awal pembinaannya, bangunan itu berada di bawah pengawasan dan jagaan Jabatan Polis Daerah hingga 1950-an sebelum diserahkan kepada Majlis Daerah untuk dijadikan balai bomba.

“Dulu balai ini menjadi tempat penyimpanan peluru dan senjata untuk PDRM dan diserahkan kepada Majlis Daerah untuk dijadikan balai bomba," katanya.

Bagaimanapun, pada tahun 1950 hingga 1983, BBP Kota Raja ini dijadikan Ibu Pejabat Bomba Selangor dengan tujuh anggota sahaja dan kini bangunan asal yang diwartakan sebagai peninggalan sejarah, menempatkan beberapa barangan antik seperti buku catatan harian dalam tulisan tangan oleh bomba yang bertugas di sekitar 1960.

Zul Alim berkata, walaupun buku catatan pergerakan anggota dan jentera bomba itu berusia 45 tahun tetapi masih dalam keadaan baik.

Peralatan lain yang menjadi pengunjung ialah alat penguji tekanan atau 'Pressure Test Kit' dari Kanada keluaran tahun 1957 yang bersaiz besar berbanding sekarang.

"Alat penguji tekanan terbabit kebiasaannya digunakan untuk menguji tekanan air pada pili bomba pada waktu itu.

“Uniform lama, siren perang Jepun serta model jentera bomba turut menjadi daya tarikan di galeri ini selain siri gambar kenangan yang dapat memberi gambaran tugas pasukan bomba sekitar 1950-an,” katanya.

Selain itu, pengunjung pasti kagum dengan alat pemadam api beroda jenis buih 50 gelen yang diimport dari United Kingdom dalam pelbagai saiz dan digunakan oleh bomba bagi memadam kebakaran kecil.

Turut ditempatkan di situ ialah basikal yang direka khas membawa peralatan pemadam kebakaran dan biasanya digunakan di kawasan kampung.

“Kami turut menempatkan barangan antik seperti mesin taip lama yang digunakan untuk membuat laporan dan radio komunikasi lama sebagai alat hubungan serta menerima panggilan kecemasan.

“Selain itu, simbol rasmi bomba iaitu kapak, turut dipamerkan untuk memberitahu masyarakat setiap anggota perlu sentiasa membawa senjata berkenaan dan digunakan untuk kerja menyelamat sehingga 1980.

“Lukisan 3D yang dilukis oleh pelukis Indonesia turut menjadi tarikan di galeri ini,” katanya.

Zul Alim berkata, galeri itu juga tersenarai sebagai destinasi ketiga 'Royal Klang Heritage Walk', Tourism Selangor untuk destinasi pelancongan sekali gus menjadi antara langkah untuk mempromosi Bandar Diraja Klang kepada pelancong.